SEREMBAN - Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek mengakui sedih apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melabelnya sebagai pengkhianat.
Sebagai antara individu yang mengasaskan PKR, beliau berkata, tidak sepatutnya dirinya diperlakukan sebegitu hanya kerana keputusannya bertanding sebagai calon Bebas.
"Saya sedih kerana masa dia (Anwar) susah saya bantu dan sekarang dia senang. Ketika itu saya membantu keseluruhannya, tenaga dan wang ringgit untuk membantu (perjuangan PKR).
"Saya antara pengasas yang masih ada kerana ramai yang dah tiada dan keluar parti. Kenapa melabelkan saya dengan istilah begitu, bukannya saya buat sesuatu yang tak baik," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Anwar menegaskan parti akan menghukum ahli yang mengkhianati perjuangan parti dalam pilihan raya negeri (PRN).
Mengaitkan tindakan pengkhianatan parti dengan sejarah budaya Melayu, Raja Mendeliar dan Si Kitol, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perbuatan mereka yang terlibat tidak akan diampunkan.
Anwar mengambil contoh dua kerusi DUN iaitu Ampangan dan Hulu Kelang yang masing-masing ditandingi bekas ahli PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, Perdana Menteri perlu menghormati proses demokrasi dalam negara yang membenarkan sesiapa saja untuk mengambil bahagian dalam mana-mana pilihan raya.
Jelasnya, keputusannya bertanding Bebas juga bukan bermakna beliau tidak menyokong Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang.
"Janganlah label melabel seolah-olah saya tak buat apa-apa kebaikan. Yang saya tolong selama ini apa? Atau adakah saya tak pernah berjasa kepada parti dan Anwar? Tak adil begitu," katanya yang merupakan penyandang DUN Ampangan.
Selain itu, beliau juga menyatakan tidak mahu terus berbalah, berperang dan tidak berhasrat 'melondehkan' sesiapa dalam parti itu, selain beliau berharap peribadinya tidak terus diserang dan meminta supaya proses pilihan raya dilakukan secara beradab.
"Saya akan buktikan saya mampu berperanan dengan baik walaupun saya hanya sebagai calon Bebas.
"Saya juga nak berbaik dengan semua. Janganlah putuskan silaturahim kerana hasrat saya mahu memajukan negara," katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta masyarakat DUN berkenaan menilai siapa sebenarnya pengkhianat apabila calon di situ digantikan dengan seorang wanita yang tinggal di luar Negeri Sembilan dan diragui untuk dijadikan pemimpin di Ampangan.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Mohamad Rafie akan disaingi oleh calon PH iaitu Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon Perikatan Nasional yang juga Ketua Bersatu Cawangan Gedong Lalang, Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad Rafie memenangi kerusi DUN Ampangan dengan memperoleh majoriti 1,360 undi menewaskan dua pencabar lain.
Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!