MELAKA - Seorang penjawat awam maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR ditungganginya dirempuh motosikal lain di Jalan Bukit Rambai di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi, mangsa, Mohd Faiz Basir, 33, yang bekerja sebagai Pembantu Operasi Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang beralamat di Jalan Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai dari arah Taman Rambai Utama menuju ke arah Bank Simpanan Nasional (BSN) Rambai Jaya.
Bagaimanapun katanya, ketika mangsa bergerak lurus di Jalan Bukit Rambai dan setibanya di persimpangan Taman Rambai Jaya, sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang seorang operator kilang wanita keluar dari simpang Taman Rambai Jaya dan membelok ke kanan.
"Mangsa yang sedang bergerak lurus di jalan utama tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal wanita berusia 25 tahun yang berada di tengah jalan.
"Akibat rempuhan tersebut, mangsa tercampak dan disahkan maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, penunggang motosikal wanita mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan kanan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan notis Pol.61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.