Bomba Selangor periksa 997 premis terlibat PRN

Iklan
Wan Md Razali Wan Ismail. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 997 premis dan bangunan di Selangor yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) diperiksa secara berterusan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat.

Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pemeriksaan itu telah dilaksanakan sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai lepas hingga tamat urusan majlis pelantikan menteri besar dan pembentukan kerajaan negeri di bangunan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh PRN ini, JBPM Selangor sentiasa meletakkan balai dalam kesiapsiagaan tinggi dan memastikan pasukan bersedia menghadapi sebarang insiden.

"Selain itu, dari sudut pencegahan kebakaran di premis terbabit PRN yang kebanyakannya sekolah, kita akan memastikan akses laluan keluar dan masuk jentera tidak terhalang serta tiada objek di kawasan tangga keselamatan jika berlaku sebarang kecemasan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat JBPM Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Pandan Indah pada Rabu.

Wan Md Razali berkata, pemeriksaan keselamatan melibatkan dua aspek iaitu sistem pasif yang melibatkan pemeriksaan struktur bangunan atau premis seperti laluan masuk ke lokasi tiada sebarang halangan atau sekatan, laluan atau ruang tangga di dalam bangunan selamat, dan sistem aktif seperti salur bantu mula (hose reel) serta alat pemadam api disediakan di premis terbabit.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini semua premis berkenaan berada dalam keadaan baik dan pemeriksaan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Selain Selangor, PRN turut membabitkan Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang dengan pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Sabtu ini. - Bernama