Sambutan Hari Kebangsaan masih suram

Iklan
Kenderaan dan bangunan di Jalan Wong Ah Fook Johor Bahru, didapati masih belum mengibarkan Jalur Gemilang. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Farhan, Nazrin, Sofian Azizan

JOHOR BAHRU - Tidak lama lagi, kita bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-66, namun ketika ini suasana sambutannya boleh dikatakan ‘suram’ berikutan tidak ada kibaran Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, bangunan-bangunan kerajaan mahu pun di kenderaan awam.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru mendapati masih belum kelihatan kibaran Jalur Gemilang yang merupakan sebahagian daripada kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan.

Iklan
Iklan

Menurut seorang pekerja penyelenggaraan, Sofian Azizan Abdullah, 25, mungkin masih terlalu awal untuk orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang tersebut kerana kebiasaannya ia dilakukan selama sebulan mulai 16 Ogos hingga 16 September bagi sambutan Hari Malaysia pula.

Bagaimanapun katanya, tidak ada salahnya jika orang ramai mengibarkan ketika ini biarpun masih belum tiba masanya berdasarkan kepada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan.

Iklan

"Kalau tanya saya, memanglah setakat ini masih belum betul-betul meriah sebab dalam 100 kereta nak jumpa satu kereta yang ada ‘pasang’ bendera pun susah. Ada, tapi susah jumpa sekarang.

"Itu yang penting sebenarnya; semangat dan saya rasa bila orang ramai dah mula ada ‘semangat’ tu kita akan dapat tengok kibaran Jalur Gemilang di mana-mana sahaja,” katanya.

Iklan

Bagi seorang peniaga, Nazrin Talha, 37, dia sememangnya akan menggantung (memasang) Jalur Gemilang di premis perniagaannya mulai 16 Ogos sehinggalah 16 September setiap tahun.

Katanya, Jalur Gemilang turut dipasang di kenderaan miliknya bagi sama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang tiba hanya sekali setiap tahun.

"Kalau ikutkan, memang saya akan pasang bendera ni di kedai, tapi masa 16 haribulan (Ogos) nantilah. Di kedai dan juga di kereta sampailah ke Hari Malaysia 16 September nanti.

"Cuma kali ini saya harap rakyat Malaysia akan tetap bersemangat menyambut Hari Kebangsaan walaupun kita tahu enam negeri akan mengharungi PRN (pilihan raya negeri) dalam bulan kemerdekaan ini sementara di Johor sendiri akan berlangsung PRK (pilihan raya kecil) bagi Pulai dan Simpang Jeram.

"Apa juga keputusan nanti kenalah terima dengan hati terbuka dan kita juga tidak mahu ada isu-isu sensitif yang bakal timbul nanti sebab apa yang penting dan kita semua mesti sambut Hari Kebangsaan ini dengan penuh rasa syukur dan bersemangat sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara seorang kakitangan swasta, Muhammad Farhan Tariff, 33, berkata, pada kebiasaannya dia akan memasang Jalur Gemilang di rumah dan juga di kenderaannya kira-kira seminggu sebelum Hari Kebangsaan.

Katanya, dia juga akan memasang bendera negeri Johor dalam usaha memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

"Mungkin awal lagi nak pasang bendera ini, lagi pun saya akan pasang kira-kira seminggu sebelum hari kebangsaan... baru kena dengan semangat ‘merdeka’ tu.

"Saya juga biasanya akan pasang bendera yang baharu. Bendera lama tu kalau lusuh atau koyak, terpaksalah buang dan kita pasang (bendera) yang baharu, barulah semangat rasanya,” katanya.