Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam, lima individu beri keterangan

Iklan
Mazlan

KUALA LUMPUR - Penganjur Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan dijangka hadir memberi keterangan kepada pihak polis pada 17 Mei depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai lima individu dipanggil pada tarikh tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita akan siasat mengikut Seksyen 95 Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Setakat ini, seramai 11 individu terdiri daripada pihak pengadu serta saksi selesai direkod keterangan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, kira-kira 3,000 individu menyertai himpunan yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini Sabtu lalu.

Perhimpunan bermula jam 2 petang dan berakhir jam 3.30 petang disertai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan peguambela yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kamaruzaman A Wahab, berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Iklan

Seramai 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk memantau dan mengawasi himpunan berkenaan.

Himpunan itu bertujuan membantah ancaman terhadap kedaulatan Islam di negara ini, termasuk beberapa isu yang cuba menggugat kedudukan Islam dan Perlembagaan antaranya Statut Rom, kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, isu pendidikan dan desakan pemecatan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah mengesahkan penganjur gagal menyertakan bersama notis kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan himpunan.