PORT DICKSON - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa pengetahuan pemimpin Pas jauh lebih rendah berbanding ahli Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, doktrin yang dibawa parti itu juga kekal sejak sekian lama iaitu bermodalkan sentimen syurga-neraka.
"Sebab (dari) tahun 80-an sampai sekarang, modal Pas apa, undi Pas masuk syurga. Hari ini masih guna benda sama.
"Sedangkan sekarang ini, BN janji di Kelantan, kalau menang (akan beri) RM2,000 kepada mereka yang kahwin kali pertama, cukai tanah dikurangkan termasuk cukai pintu. Nak tubuh universiti hafazan. Itu kita punya misi.
"Kita nampak Pas tak ada (misi), masalah air 33 tahun pun tidak dapat selesaikan, tak nampak usaha ke arah itu. Yang dia nampak bersama ke syurga," katanya pada sidang akhbar selepas program bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan nelayan pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai perubahan dalam kerajaan Pusat sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang menjelaskan, tiada peruntukan dalam undang-undang yang menyatakan keputusan PRN membolehkan perubahan kepada pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata, Akta Anti Lompat Parti juga telah diwartakan sekali gus menghalang ahli Parlimen menukar parti atau membawa kerusi yang dimenangi pada pilihan raya ke parti lain.
"Kalau itu mentaliti mereka (boleh ubah kerajaan), ke mana nak bawa Islam, bawa negeri Kelantan. Saya ingat kena buat perubahan.
"Dulu betul, kalau dia rasa nak pergi parti belah sana, boleh pergi begitu sahaja tetapi sekarang tak boleh. Kita wakil rakyat, ahli Parlimen, DUN ada perjanjian," katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menasihatkan penyokong BN tidak ragu-ragu untuk mengundi calon yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRN kali ini.
"Saya fikir mereka (pengundi) tidak perlu ragu-ragu, sembilan bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir dan urus kerajaan Persekutuan dengan terbaik di bawah Perdana Menteri.
"Alhamdulillah setelah tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, negara berjalan dengan elok, baik dan banyak pengumuman penting untuk rakyat," katanya.