Jangan langgar hukum asas keharmonian negara - Ayob Khan

Iklan
Ayob Khan (kanan) ketika dalam sesi temu mesra program Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di bawah Program Permuafakatan PDRM bersama KPM serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Selangor di IDCC, Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyifatkan tindakan beberapa pihak memainkan isu sensitif melibatkan 3R (agama, kaum, raja) di negara ini sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak akan sesekali bertolak ansur terhadap sebarang elemen berkaitan pelanggaran hukum melibatkan asas keharmonian di negara ini.

Iklan
Iklan

"Sesiapa sahaja di negara ini yang didapati cuba mencetuskan kekacauan dengan menimbulkan sentimen perkauman akan diambil tindakan.

"Dalam konteks undang-undang, pendirian saya sama seperti dahulu, kalau ada kesalahan atau pelanggaran, kita sama sekali tidak berkompromi," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sesi temu mesra Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di bawah Program Permuafakatan PDRM bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta Institut Pengajian Tinggi awam dan Swasta Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini pada Rabu.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Iklan

Mengulas lanjut, Ayob Khan turut mempersoalkan matlamat sebenar individu berkenaan memainkan isu-isu sedemikian dalam masyarakat majmuk dan pelbagai kaum di negara ini.

Apa yang pasti katanya, sejarah telah tercatat bahawa semua kaum di negara ini memainkan peranan cukup besar khususnya dalam menentang pengganas komunis apabila PDRM melalui satu unit khas dikenali sebagai Pasukan F, turut melibatkan anggota dan pegawai berbangsa bukan Melayu dalam memastikan keamanan negara.

"Perkara sebegini perlu diambil tahu dan difahami oleh semua pihak bahawa kita tidak boleh menafikan penglibatan semua bangsa dalam menentang pengganas komunis, ini adalah fakta dan sejarah," katanya.

Menurutnya, asas penghayatan kepada rukun negara perlu ditanam dan difahami oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.

"Asas kepada rukun negara itu sendiri ada menekankan soal penghayatan ke arah pembinaan negara yang betul sekali gus ia merupakan satu asas di negara ini.

"Jadi seandainya tiang asas itu goyah ia sekali gus akan meruntuhkan negara dan perkara ini kita harus elakkan dari berlaku," katanya.