Syarikat p-hailing bincang bayaran penghantar, hargai inisiatif PM

Iklan
Bryan Ng (Kanan: Tangkap layar hantaran Bryan Ng di facebooknya pada Selasa.)

KUALA LUMPUR - Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia sudah memberi pandangan dan cadangan kepada kerajaan mengenai keperluan mengubah suai harga lantai dalam perkhidmatan p-hailing bagi memastikan bayaran kepada penghantar lebih baik dan adil.

Penasihat persatuan itu, Bryan Ng Yih Miin berkata, pandangan dan cadangan berkenaan dikemukakan dalam sesi pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 24 syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

Iklan
Iklan

"Kami bersyukur beliau (Anwar) telah menggesa agar semua syarikat p-hailing meneliti semua struktur harga lantai yang sedia ada serta menyediakan ‘interface’ atau antara muka mudah alih yang memberikan gambaran yang tepat dan telus tentang kaedah pengiraan, jarak dan harga kepada penghantar,” katanya dalam hantaran Facebook susulan perjumpaan itu dengan Perdana Menteri pada Selasa.

Beliau juga berharap supaya inisiatif Perdana Menteri itu menjadi titik permulaan positif ke arah mewujudkan pengangkutan p-hailing yang lebih baik dan adil.

Iklan

Pengasas RideRunner, Achmad Noorasyrul Noortaip berkata, pada perjumpaan itu, pihaknya mengutarakan beberapa usul termasuk kepentingan platform p-hailing dari Sabah dan Sarawak supaya sentiasa diambil kira dalam membuat keputusan mengenai dasar di peringkat Persekutuan.

"Kita juga membangkitkan isu permit kenderaan e-hailing (EVP) yang membebankan platform dan perlu mempunyai konsep lebih sesuai bagi memberikan permit elektronik kenderaan kepada pemandu e-hailing,” katanya dalam Facebooknya susulan perjumpaan itu.

Iklan

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang turut sama dalam pertemuan berkenaan berkata, perhatian yang khusus wajar diberikan kepada sektor p-hailing memandangkan ekonomi digital semakin mendapat tempat dalam pasaran ekonomi dunia.

"Perdana Menteri menzahirkan keprihatinan beliau terhadap isu kebajikan dan kesejahteraan pemandu p-hailing di samping menjaga ekosistem pasaran ekonomi gig bagi mewujudkan situasi sama menang antara pekerja dan syarikat pengendali platform gig.

"Semoga usaha ini akan memberi manfaat kepada semua yang terlibat,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Anwar dalam kenyataan pada Selasa berkata, syarikat pengendali p-hailing telah memberikan komitmen untuk lebih telus, meneliti dan memperhalusi lebih lanjut pandangan golongan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah bagi mereka.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar serta pegawai-pegawai kanan kementerian turut hadir dalam pertemuan berkenaan. -Bernama