SHAH ALAM - Perubahan landskap politik negara tidak boleh terikat dengan persepsi semata-mata, sebaliknya perlu seiring dengan fakta dan melaksanakan keperluan atau kehendak rakyat sesuai dengan keadaan semasa.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, dengan pelbagai platform media sosial, pengundi terutama anak muda lebih cakna terhadap perubahan politik negara dan menuntut perubahan seperti dijanjikan semasa berkempen.
"Pada pandangan saya ahli politik perlu lebih matang dan sekiranya mereka masih lagi membina persepsi, ia akan memakan diri sendiri apabila kenyataan mereka diputar belit oleh sesetengah pihak.
"Perubahan ini saya lihat lebih terbuka dan matang terutama generasi muda dilihat memberi perhatian khusus mengenai politik.
"Ini satu perkara yang positif kerana anak muda kena ambil perhatian terhadap politik,” katanya dalam Sinar Live yang bertajuk ‘Mampukah Jadi Hadiah PN?’ yang dihoskan oleh Asraf Awaluddin pada Rabu.
Menurut Ab Halim, pengundi hari ini lebih bijak menilai sama ada pemimpin tersebut mampu melaksanakan tanggungjawab atau sekadar mencipta retorik untuk meraih kemenangan.
Beliau yang juga bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) berkata, dengan perubahan tersebut tidak mustahil sekiranya PN mampu menawan Selangor berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujarnya, dengan kematangan dan perubahan landskap politik sedia ada tidak mustahil PN mampu membawa perubahan kepada pengundi terutama di kawasan Paya Jaras dengan rekod pencapaian parti tersebut sebelum ini.
"Landskap politik berubah semasa PRU15 apabila kita menawan enam kawasan Parlimen Selangor dan ini menunjukkan tidak mustahil ia mampu menjadi momentum perubahan.
"Berdasarkan fakta semasa dan data yang kita ada rakyat mahukan perubahan secara positif serta perkara ini tidak mustahil apabila melihat kematangan pengundi,” jelasnya.
Sementara itu, Ab Halim turut menyifatkan manifesto PN sebagai komprehensif merangkumi setiap lapisan masyarakat mampu membawa Selangor ke arah kemajuan yang lebih baik.
Menurutnya, perkara yang menjadi keutamaan PN dalam kempen kali ini adalah memastikan kesejahteraan golongan B40 dan M40 yang menerima tekanan ekonomi.
"Kita ada tujuh tunjang yang menjadi asas keseimbangan daripada sudut ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.
"Manifesto Selangor Kita Bangkit ini suatu yang sempurna meliputi semua pihak termasuk pendidikan khususnya B40,” katanya.