'Kita kena pilih ‘mazhab’ ekonomi' - Syahir

Iklan
Syahir

SHAH ALAM - Model pembangunan ekonomi negara perlu dipilih mengikut ‘mazhab’ sendiri dengan mempunyai identiti dan hala tuju yang jelas.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pembentukan model ekonomi berasaskan kestabilan nasional dengan teras yang jelas mampu menyelesaikan masalah sedia ada.

Iklan
Iklan

"Kita kena pilih mazhab ekonomi sama ada kayakan orang di atas atau di bawah. Apa yang penting adalah kena ada identiti dan hala tuju. Matlamat saya jelas iaitu meletakkan kestabilan nasional sebagai model baharu ekonomi Malaysia.

"Setelah itu, apa yang kita perlukan adalah kestabilan bukan seperti Ekonomi Madani yang mahu menjadikan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dalam dunia.

Iklan

"Namun apa guna jika yang kaya itu semakin kaya dan miskin semakin miskin. Makcik Kiah dan rakan-rakan peniaga jalanan terus mengeluh hasil jualan semakin mengecil,” katanya dalam Majlis Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Rabu.

Menurut Syahir, perancangan ekonomi yang berulang-ulang tanpa sebarang penyelesaian tidak mampu mengubah hala tuju negara.

Iklan

Sebaliknya, beliau menegaskan Malaysia perlu ada identiti tersendiri.

"Teras yang paling utama dalam kestabilan nasional adalah keadilan, kitaran, kesederhanaan dan integriti ekonomi bagi kita melihat hasilnya.

"Kita nak bincang model ekonomi tetapi pembentangan Rafizi yang berulang-ulang tidak mampu menyelesaikan perkara utama jika hanya menyebut tentang masalah tanpa sebarang tindakan,” jelasnya.

Penolong Setiausaha Agung Pas menambah, walaupun kos perbelanjaan Kelantan tidak tinggi seperti negeri lain tetapi kuasa membeli di negeri itu adalah yang tertinggi.

Jelasnya, masyarakat Kelantan lebih cenderung untuk menyimpan harta sebagai aset berbanding berbelanja kerana ia adalah kitaran ekonomi yang diamalkan sejak dulu lagi.

"Orang Kelantan duduk rumah biasa tetapi ada tanah, lembu dan kambing kerana mereka menyimpan aset, bukan berbelanja.

"Jadi, inilah kitaran ekonomi yang ada di Kelantan walaupun tidak dipacu oleh kerajaan tetapi dipacu oleh kuasa beli dan pelaburan,” ujarnya.