TIDAK pernah penulis terfikir negara kita sudah sampai ke tahap perlunya sekolah khusus untuk anak-anak daripada keluarga paling miskin kerana sistem pendidikan sedia ada sepatutnya dapat dinikmati bersama tanpa mengira perbezaan taraf kehidupan pelajar.
Namun, setelah membaca hasrat diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkenalkan konsep jenis sekolah baharu yang menyasarkan anak kepada golongan paling miskin di negara ini sebagai satu bentuk keadilan kepada golongan itu, penulis berpandangan ia wajar disokong.
Anwar berkata, pelaksanaan sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh membolehkan golongan berkenaan berpeluang mendapat akses pendidikan, walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.
Tidak dinafikan, wujudnya pelajar yang lahir dalam keluarga yang sangat sederhana dan miskin berisiko menjadi golongan tercicir disebabkan pelbagai kekangan kos sara hidup.
Ketika rakan sebaya mereka agak 'mewah' dengan pelbagai kemudahan daripada aspek kenderaan ke sekolah, pakaian seragam, peralatan belajar, buku-buku rujukan, kelas tuisyen, dan pelbagai lagi kelebihan, pelajar daripada golongan paling miskin ini menikmati alam persekolahan mereka dengan kemudahan sekadar 'cukup syarat'.
Faktor hidup yang serba kekurangan juga boleh meragut semangat mereka untuk belajar sehingga menyebabkan pelajar-pelajar ini agak ketinggalan, seterusnya sukar membentuk masa depan yang lebih baik.
Bagi penulis, konsep sekolah menengah sains serta berasrama penuh untuk sekolah khas yang bakal diwujudkan itu juga mampu menjadi nilai tambah buat golongan pelajar miskin lebih fokus dan bermatlamat dalam hidup demi mengubah nasib diri dan keluarga.
Tentunya pendekatan istimewa perlu diberikan kepada golongan pelajar ini nanti agar penubuhan sekolah khusus ini memberikan hasil yang sewajarnya.
Perkara ini turut ditekankan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengakui pendekatan dilaksanakan nanti juga pasti sedikit berbeza dalam usaha menjayakannya.
Namun, satu perkara yang penulis fikir perlu diberi pertimbangan serius adalah menetapkan kuota lebih besar kepada pelajar lelaki atau sekurang-kurangnya 60-40 untuk sekolah khas yang bakal diwujudkan.
Ini mengambil kira kebimbangan negara ini berhadapan dengan generasi 'hilangnya' lelaki seperti mana yang disuarakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Beliau memberi contoh majoriti universiti kini didominasi wanita sebagai menyokong kenyataan tersebut, dan perkara itu sememangnya realiti yang sukar disangkal.
Katanya, kebanyakan pelajar lelaki selepas menamatkan pengajian di sekolah akan bekerja di sektor gig atau memasuki bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Bila habis belajar siapa gaji lebih tinggi (sudah tentu) wanita. Ini akan mengakibatkan krisis sama ada dalam perhubungan rumah tangga dan sebagainya," katanya seperti dilaporkan baru-baru ini.
Penulis berpendapat, situasi tersebut berpunca daripada tekanan kos sara hidup masa kini menyebabkan kebanyakan golongan muda lebih fokus cara bagaimana untuk menjana wang dalam masa singkat contohnya memilih bekerja dalam bidang e-hailing atau p-hailing tanpa perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian.
Implikasinya, tidak ramai yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Maka, dibimbangi kurangnya golongan itu dalam bidang profesional pada masa depan.
Kerana itu, sebagai permulaan dengan melebihkan kuota pelajar lelaki di sekolah khusus yang bakal diwujudkan, sedikit sebanyak ia dapat mendorong pelajar-pelajar lelaki menanam impian lebih besar.
Mereka mungkin lebih cenderung untuk menyambung pengajian di universiti seterusnya mendapatkan pekerjaan dalam bidang profesional.
Jadikan konsep sekolah menengah sains serta berasrama penuh ini, sebagai peluang besar untuk negara melahirkan generasi akan datang yang lebih seimbang.
Golongan pelajar lelaki perlu dipertanggungjawabkan dalam hal ini kerana mereka merupakan bakal-bakal pemimpin masa depan.
Kelak, mereka bukan sahaja mampu mengubah nasib diri dan keluarga, tetapi menjadi penyumbang kepada tenaga kerja profesional tempatan seterusnya menjamin kestabilan masa depan ekonomi Malaysia.
*Nurhidayah Hairom adalah wartawan Meja Nasional, Sinar Harian