LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek tidak menolak kemungkinan untuk menjadi calon bagi menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai presiden akhir tahun ini.
Jalani yang juga Presiden Kelab Badminton Nusa Mahsuri berkata, beliau bersedia demi kebaikan sukan dan badminton negara.
"Tanggapan orang bahawa saya ada tokoh kepimpinan, saya tidak boleh tolak kerana itu pandangan mereka.
"Bagi saya tiada masalah (Presiden BAM) demi untuk sukan dan kebaikan badminton negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jalani menjelaskan bagi menguruskan sebuah organisasi besar seperti BAM perlu wujud persefahaman yang utuh dalam kalangan pihak pengurusan, barisan kejurulatihan serta pasukan teknikal.
"Seperti BAM, Tan Sri (Norza) menguruskan dana serta penajaan. Barisan kejurulatihan pakar dalam bidang teknikal. Mereka ada model tertentu dalam proses untuk melahirkan juara.
"Persefahaman yang baik dalam kalangan pihak berkenaan mampu menjadikan organisasi itu berjaya dan para pemain berupaya meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
"Pemain berjaya dan menang banyak kejohanan, duit serta penajaan akan masuk (ke kantung BAM),” katanya.
Norza sebelum ini membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan akan melepaskan jawatan badan induk badminton negara tersebut pada hujung tahun ini.
Keputusan itu menyaksikan Norza bakal mengosongkan kerusinya lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.
Panel Penasihat BAM, Roslin Hashim berpandangan badan induk badminton negara itu perlu dipimpin oleh individu yang memiliki pengalaman dalam sukan tersebut.
Malah, Roslin secara terbuka menamakan Jalani yang juga Penasihat Teknikal BAM sebagai antara individu yang layak memimpin persatuan berkenaan.
Malah kualiti kepimpinan dan pengalaman pengurusan dimiliki bekas jaguh beregu lelaki negara itu mampu menjadi aset terbaik untuk melayakkannya menjadi calon Presiden BAM.
Perkara itu diakui oleh penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang percaya bekas pemain berusia 59 tahun itu bersedia untuk mempelajari selok-belok pengurusan badan induk sukan berprestasi tinggi seperti BAM.
ARTIKEL BERKAITAN: Jalani miliki kualiti, pengalaman galas jawatan Presiden BAM
Spekulasi calon Presiden BAM hangat
Hamidin tak minat jadi Presiden BAM
Norza buat kejutan, letak jawatan Presiden BAM hujung tahun ini