PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah tentu mempunyai ramuan tersendiri selepas meletakkan sasaran berani menjadi juara Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, keyakinan Pan-gon itu sudah tentu akan memastikan aksi bermutu tinggi dipamerkan pasukan negara sekali gus mencapai sasaran juara seperti yang dimahukan.
"Sudah tentu apabila Pan-gon letak sasaran jadi juara, maka dia sudah mempunyai resepi dan ramuan bagaimana untuk merealisasikannya.
"Jika tidak menjadi juara sekali pun, saya melihat Pestabola Merdeka ini sebagai platform terbaik untuk memantapkan pasukan sebelum menghadapi saingan kelayakan Piala Asia serta Piala Dunia dan juga aksi Piala Asia tahun depan," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Sebelum ini, Pan-gon melaungkan amaran bahawa Harimau Malaya akan tampil luar biasa dalam saingan Pestabola Merdeka apabila meletakkan sasaran mara ke final dan menjadi juara.
Bagaimanapun, tugas sukar sudah tentu dihadapi skuad negara kerana kesemua pasukan yang mengambil bahagian berada di ranking 100 terbaik dunia berbanding Malaysia yang kini berada di ranking ke-136 dunia.
Malaysia akan membuka tirai aksi bagi edisi ke-42 tersebut bertemu pasukan di ranking ke-99 dunia, India pada perlawanan pembukaan 13 Oktober depan, manakala Palestin (ranking ke-96 dunia) akan menentang Lubnan (ke-100 dunia) dalam satu lagi perlawanan.
Aksi final dijadualkan pada 17 Oktober dengan semua aksi berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, Malaysia memenangi Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali sejak diperkenalkan pada 1957 dan skuad bawah 23 tahun negara muncul juara pada kali terakhir kejohanan itu dianjurkan pada 2013.
Dalam pada itu, Mohd Azraai turut memuji tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berjaya mendapatkan pasukan di ranking yang lebih baik untuk menjadi lawan Harimau Malaya sebelum aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan Piala Asia di Qatar tahun depan.
"Ia satu penanda aras yang baik kita dapat menentang China dan Syria pada aksi persahabatan September ini dan menentang India, Lubnan serta Palestin di Pestabola Merdeka.
"Kita akan dapat mengetahui di mana kelemahan dan kelebihan yang kita tidak dapat lihat sebelum ini kerana berdepan lawan lemah," katanya.