KEJAYAAN Selangor FC menampilkan gaya permainan matang disifatkan faktor menyaksikan Selangor FC mengalahkan Kuala Lumpur City FC, 2-0 dalam Derbi Lembah Klang Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Selasa.
Malah, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe memuji karakter dipamerkan para pemainnya dalam menjelmakan tiga mata penting berdepan lawan sukar seperti Kuala Lumpur City.
Jelas Cheng Hoe, dia bangga apabila para pemain telah mula membiasakan diri bermain sebagai satu pasukan biarpun tanpa kelibat tonggak utama.
"Ya, para pemain yang diturunkan hari ini menunjukkan karektor yang baik walaupun sebelum perlawanan, satu tekanan buat kami untuk menang perlawanan ini.
"Malah sejak sesi latihan lagi para pemain terutama pemain muda telah tunjukkan kesungguhan untuk memenangi perlawanan ini.
"Dalam perlawanan sebenar, para pemain muda juga menampilkan permainan matang membantu pasukan memperolehi tiga mata penting,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Selangor mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kuala Lumpur City 2-0 melalui jaringan Harith Haiqal pada minit ke--32 dan Ayron del Valle (m-76).
Dalam masa sama Cheng Hoe berkata, bahagian pertahanan dan serangan The Red Giants juga bermain penuh disiplin bagi memastikan tiga mata milik pasukan tuan rumah.
"Para pemain mula menunjukkan konsistensi dan paling penting memahami keperluan sesuatu taktikal dalam perlawanan yang menjadi masalah utama pasukan sejak awal musim.
"Kami sememangnya kurang konsisten dalam perlawanan tetapi kini pemain sudah menunjukkan keserasian dan memahami kehendak taktikal kerana ianya memerlukan masa.
"Pemain juga kurang melakukan kesilapan individu tetapi masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dan kami akan sentiasa meningkatkan prestasi bagi menghadapi perlawanan akan datang,” katanya.