JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seramai 1,583 pegawai dan anggota polis dihantar bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penugasan bantuan anggota polis itu bagi tempoh lima hari bermula Khamis.
"Untuk PRN yang akan berlangsung di enam negeri pada Sabtu ini, semua kontinjen, bridge dan formasi termasuk Kontinjen Johor diminta menyediakan bantuan anggota.
"Seramai 1,583 anggota polis terdiri daripada lapan pegawai kanan dan 1,575 orang pegawai rendah terlibat membantu kelancaran proses PRN di Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN DUN enam negeri di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.
Kamarul Zaman mengingatkan anggota polis yang terlibat agar menjalankan tugas dengan penuh ikhlas, memberi khidmat terbaik dan menjadi imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Anggota yang bertugas perlu memastikan keselamatan tempat mengundi, lalu lintas dan keselamatan orang ramai sepanjang pilihan raya berlangsung," ujarnya.
..............................................................................................................................
Polis Pahang hantar 881 pegawai, anggota bantu PRN di Terengganu
KUANTAN - Polis Kontinjen Pahang menggerakkan 881 anggota termasuk pegawai kanan bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu, Sabtu ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, petugas yang dihantar dari seluruh daerah membabitkan empat pegawai kanan dan 877 pegawai rendah untuk penugasan selama lima hari bermula Khamis ini hingga Isnin depan.
Menurutnya, pemilihan Kontinjen Pahang ke Kontinjen Terengganu mengambil kira negeri jiran paling hampir.
"Bantuan sumber manusia dari kontinjen Pahang akan ditugaskan di lima daerah di Terengganu iaitu Kemaman ( 4 pegawai kanan, 225 anggota), Dungun (214 anggota), Hulu Terengganu (239 anggota), Marang (197 anggota)dan Besut (2 anggota)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Pergerakan Bantuan Sumber Manusia PRN Ke-15 Kontinjen Pahang di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar di sini pada Khamis.
Yahaya berkata, penugasan petugas dari Kontinjen Pahang termasuk memastikan keselamatan di tempat mengundi, kelancaran lalu lintas dan keselamatan orang ramai sepanjang proses pengundian berlangsung.
"Secara keseluruhannya, semua anggota yang terpilih telah bersiap sedia untuk menerima arahan selanjutnya ketika berada di kawasan penugasan.
"Anggota terlibat dinasihatkan agar menjaga nama baik kontinjen Pahang sepanjang penugasan dan celik kepada setiap proses dan prosedur perjalanan pilihan raya sepertimana yang telah diperuntukkan undang-undang," katanya.
Yahaya berkata, anggota turut dinasihatkan supaya mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, mengawal emosi, jangan culas dan bersikap lewa semasa melaksanakan tugas.
Sementara itu katanya, walaupun sebahagian anggota terlibat dalam PRN itu, penugasan harian Polis Kontinjen Pahang tidak terjejas sebaliknya berjalan seperti biasa.