PENDATANG baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Luton Town telah menandatangani bekas pemain tengah Everton dan Chelsea, Ross Barkley secara percuma dalam memperkuatkan cabaran kelab yang baru dinaikkan pangkat dari Liga Kejuaraan tersebut.
Barkley, 29, yang membuat 33 penampilan untuk England, menghabiskan musim lalu di kelab Ligue 1 Perancis, Nice berkata, dia tidak sabar untuk kembali ke bola sepak Inggeris.
"Kenapa Luton? Dari Liga Kejuaraan ke Liga Perdana adalah satu cerita yang hebat dan bagi saya secara peribadi untuk kembali ke Liga Perdana, ia adalah motivasi yang hebat," kata Barkley dalam satu kenyataan.
Dia bermain 28 perlawanan untuk Nice dalam semua pertandingan musim lalu, menjaringkan empat gol, sebelum ini membuat lebih 200 penampilan EPL menjaringkan 29 gol, untuk Everton dan Chelsea.
Luton yang membuat debut EPL menyifatkan Barkley adalah nilai tambah yang untuk skuad kendalian Rob Edwards.
"Ross membawa banyak pengalaman dari peringkat teratas, mempunyai pengalaman antarabangsa dan membawa faktor X.
"Dia memberi kami sesuatu yang berbeza, dia mempunyai keupayaan untuk membuat sesuatu daripada tiada dan kami memerlukannya dalam Liga Perdana Inggeris,” kata Edwards.
Barkley memakai jersi nombor enam dijangka membuat penampilan sulung Luton di Brighton & Hove Albion pada Sabtu.