DENGKIL - 112 tawaran Perikatan Nasional (PN) yang bertemakan 'Selangor Baharu, Kita Bangkit' itu diyakini mampu memberi penyelesaian menyeluruh dalam masalah kos sara hidup yang membebani rakyat pada ketika ini.
Calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh (PN) berkata, berdasarkan kerangka tawaran parti yang diwakilinya dalam pilihan raya negeri (PRN) itu, ia diyakini mampu membina ekonomi serta taraf hidup untuk semua golongan rakyat.
"Melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion bersekali dengan 112 tawaran, kita hendak semarakkan keharmonian dan menyejahterakan kehidupan setiap rakyat negeri ini.
"Melihat keperluan hidup rakyat, banyak inisiatif seperti jaminan makanan, harga barangan munasabah, perkukuhkan sistem kesihatan, memelihara kebajikan rakyat, membangunkan sukan dan memperkasakan potensi orang kurang upaya (OKU) diberikan perhatian oleh PN.
"Jadi dengan tawaran-tawaran yang ada itu, saya yakin rakyat akan merasai nikmat kehidupan yang lebih selesa di bawah PN sekiranya mandat diberikan pada 12 Ogos nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Jamil yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu bahawa kerangka tawaran PN mengetengahkan tujuh tunjang utama yang bakal memberikan banyak manfaat kepada rakyat Selangor, khususnya golongan usahawan dan belia.
"Sebagai contoh, Skim Dana Food Truck Selangor dan Skim Micro Kredit Hijrah. Skim-skim ini berkeupayaan membantu para peniaga kecil melalui penyediaan dana yang besar masing-masing berjumlah RM50 juta dan RM500 juta.
"Selain itu, PN memahami permasalahan para peniaga dengan tawaran penggantian peralatan rosak akibat bencana atau musibah di bawah Dana Restart Selangor berjumlah RM50 juta.
"Selain itu, PN juga tawarkan pengecualian pembayaran sewa tapak perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mampu meringankan beban para peniaga,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jamil yang berpengalaman lebih 40 tahun berkhidmat di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan KPDNHEP, itu turut berhasrat meningkatkan martabat pembangunan serta pencapaian sukan dan golongan belia di Selangor.
"Untuk golongan belia, kita mempunyai pelbagai program contohnya. Kita ada dana khas Selangor Juara sebanyak RM50 juta yang akan mengembalikan kegemilangan Selangor dalam arena sukan.
"Selain itu, PN tawarkan Skim Selangor Riders untuk golongan belia yang terlibat dalam industri p-hailing. Dengan skim ini, mereka (belia) boleh mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan motosikal mereka sebanyak RM300 setahun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jamil, memberi jaminan akan menangani isu banjir sekiranya beliau diberikan kepercayaan sebagai wakil rakyat di DUN Dengkil pada PRN kali ini.
"Kekerapan banjir itu kita lihat sering berlaku dan berterusan. Ia juga melibatkan jabatan peringkat persekutuan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
"Tugas saya adalah dengan adanya pengalaman dan 'networking' (rangkaian) yang ada itu, saya akan memastikan masalah yang berlaku ini dapat diatasi," ulasnya.
Dalam soal infrastruktur pendidikan, Jamil yang menetap di Dengkil sejak lima tahun itu, memberitahu rakyat setempat menghadapi masalah kekurangan sekolah di kawasan berkenaan.
"Dengan pertambahan penduduk yang begitu pesat di Dengkil ini, contohnya Taman Putra Perdana dan beberapa bahagian lain, kita berdepan dengan masalah sekolah menengah dan sekolah rendah yang tidak mencukupi.
"Kelas-kelas pun tidak dapat menampung bilangan pelajar, dan kadang-kala ibu bapa terpaksa menghantar jauh anak-anak ke sekolah, ini akan menyebabkan kos yang tinggi. Jadi untuk itu, kita akan usahakan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nanti,” jelasnya.
Selain itu, Jamil berpandangan bahawa tawaran kepada rakyat turut melibatkan usaha memacu pembangunan negeri Selangor itu sendiri.
"Dengan adanya peluang pekerjaan, pelaburan besar serta pendapatan yang banyak, kita boleh mengatasi masalah dan mencari jalan untuk mengatasi isu kos sara hidup yang tinggi.
"Kalau PN diangkat menjadi kerajaan Selangor, kita tidak mempunyai masalah untuk memikirkan cara terbaik untuk memajukan negeri Selangor melalui kepakaran-kepakaran calon sedia ada, di samping bantuan tenaga pemikir yang memang ramai di negeri ini," ujarnya.
ADVERTORIAL