KUALA TERENGGANU - Seorang bekas warden asrama rumah anak yatim di Marang dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 14 tahun pada 28 Julai lepas.
Bagaimanapun, tertuduh, Roslan Mohamad, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.
Iklan
Iklan
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dalam sebuah bilik asrama pada jam 5 pagi dengan menyentuh kemaluan remaja tersebut.
Lelaki itu didakwa di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh dihukum dengan hukuman sebatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.