Tujuh kedai musnah terbakar

Iklan
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran yang melibatkan tujuh buah kedai di Jalan Kuala Kangsar, Prangin Estate di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

GEORGETOWN - Tujuh buah kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Kuala Kangsar, Prangin Estate di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Penguasa Kanan Bomba 1 Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata, bangunan dua tingkat yang dikategorikan sebagai bangunan warisan itu musnah 70 peratus setiap unit.

Iklan
Iklan

"Bomba menerima panggilan kecemasan dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta pemadaman.

"Operasi itu membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Jalan Perak dan Paya Terubong. Hampir keseluruhan tujuh unit itu musnah kerana api sangat marak dan cepat merebak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat lima penghuni iaitu dua lelaki tempatan dan tiga warga Bangladesh, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Ketika kejadian, kesemua mereka berjaya lari dan menyelamatkan diri melalui tangga. Mereka kemudiannya turun melalui saluran paip di belakang premis tersebut.

Iklan

"Siasatan awal terhadap saksi, dipercayai punca kejadian adalah kerana kebocoran gas memasak di salah sebuah premis terbabit. Namun, bomba masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian," katanya.