Tarik semua surat sokongan - Polis Perak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin lalu. (Gambar kecil: Mohd Yusri)

IPOH - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) diminta untuk menarik semula surat sokongan yang ditandatangan Ketua Polis Perak agar ia tidak disalahgunakan bagi tujuan tidak sepatutnya di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, NGO terbabit telah dipanggil berikutan penahan dua sukarelawan pertubuhan itu yang dikesan menjalankan aktiviti meminta sedekah tanpa kebenaran, Ahad lalu.

Iklan
Iklan

"Kita telah mengambil tindakan dan menasihatkan supaya NGO itu tarik semula semua surat agar tidak disalahgunakan bagi tujuan tidak sepatutnya.

"Difahamkan surat itu bukanlah bertujuan untuk mengutip derma tetapi menyokong program-program dianjurkan pertubuhan kebajikan itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Bantuan Sumber Manusia PDRM Perak yang akan bertugas di Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 2023 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat Seksyen 3(3) Akta Pungutan Derma Rumah ke Rumah dan Jalan 1947 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.

Iklan

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dua lelaki warga Thailand berusia 17 tahun ditahan selepas didapati menyalahgunakan surat sokongan yang ditandatangani Ketua Polis Perak bagi tujuan kutipan derma.

Suspek didapati secara salah menggunakan surat itu dengan memegang tabung bagi tujuan meminta derma di sekitar kawasan Gopeng, Kampar.