Jangan guna 3R sebagai senjata kempen saat akhir PRN

Iklan
Teo Nie Ching

KULAI - Semua parti politik dinasihatkan tidak mengekploitasi isu agama, raja dan kaum (3R) sebagai 'senjata' menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, mereka perlu bertanggungjawab dengan tidak menyentuh sensitiviti 3R sebaliknya berkempen secara sihat dengan menjelaskan tawaran atau manifesto parti masing-masing.

Iklan
Iklan

"Tinggal dua hari sahaja lagi untuk berkempen, jadi saya ingin menyeru kepada semua calon untuk menggunakan masa emas ini bagi menjelaskan apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat dan jangan guna isu 3R sebagai senjata untuk berkempen,” katanya.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan memberi sumbangan RM46,000 kepada enam keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Taman Kulai di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir ADUN Senai, Wong Bor Yang.

Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama penyedia platform media sosial dalam menyekat kandungan 3R sepanjang tempoh PRN.

Iklan

Jelasnya, ini berdasarkan laporan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dipertanggungjawabkan untuk menyekat kandungan seumpama itu khususnya daripada parti politik ketika musim PRN.

Beliau berkata, pemantauan sentiasa dilakukan pihak kementerian menerusi MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil secepat mungkin.

"Kita memang ada terima aduan (kandungan berunsur 3R) daripada MCMC ketika PRN ini dan MCMC telah meminta bantuan daripada penyedia platform seperti TikTok dan Meta untuk memadam kandungan seumpama itu.

"Berdasarkan laporan daripada MCMC, syarikat penyedia platform media sosial memberikan kerjasama sepenuhnya dan kita menghargainya. Tetapi, ada juga yang tidak begitu responsif dan kita akan berbincang lebih lanjut dengan mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau bimbang bilangan pengundi PRN pada Sabtu ini kurang 20 peratus berbanding peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi DAP Johor itu menyeru pengundi agar menunaikan tanggungjawab dengan keluar beramai-ramai mengundi pada Sabtu ini.