KLANG – Akibat gagal mempamerkan dokumen dan tidak mengemukakan permit kerja, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menahan sebuah bot fiber ketika sedang melakukan aktiviti perikanan di perairan Banting, pada Rabu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, bot fiber yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan dalam keadaan mencurigakan itu ditahan di kedudukan sekitar lima batu nautika barat daya Pantai Batu Laut Banting, pada jam 3.15 petang.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber itu dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun dan dua lelaki warga asing masing-masing berumur 37 dan 39 tahun.
"Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot nelayan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan dokumen bot yang sah.
"Kita mendapati mereka turut melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati dua lelaki warga asing itu dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,500 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999," katanya.