SHAH ALAM - Sindiket penipuan pelaburan GCM Asia yang merekrut pelajar lepasan sekolah dan universiti sebagai operator panggilan ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di USJ 1, Subang Jaya, Isnin lalu.
Serbuan kira-kira jam 12.20 tengah hari oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor itu berjaya menahan 101 orang warga tempatan termasuk 36 wanita berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun disyaki ahli sindiket.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka ini berperanan sebagai pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian teknologi maklumat dan pekerja khidmat pelanggan (operator) pusat panggilan.
Menurutnya, serbuan ini bertindak merampas pelbagai barang seperti 94 komputer, 47 telefon pejabat dan 96 telefon bimbit selain turut membekukan akaun yang digunakan sindiket.
"Siasatan mendapati premis beroperasi kira-kira satu tahun dengan menggunakan nama pelaburan GCM Asia.
"Bagaimanapun, pelaburan GCM Asia ini telah disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak dua tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.
Beliau berkata, pelajar lepasan sekolah dan universiti dikesan direkrut dan diajar dalam masa dua minggu untuk ditugaskan sebagai operator dengan bayaran gaji RM2,500 hingga RM3,000.
Katanya, operator ini akan membuat panggilan melalui nombor telefon dan skrip yang dibekalkan untuk memberi penerangan dengan meyakinkan mangsa untuk melabur.
"Pelabur akan diberi 'link' untuk melayari laman web GCM Asia dan membuat pendaftaran sebelum pembayaran mengikut jumlah yang ditetapkan.
"Pelaburan ini menawarkan pakej pelaburan dalam forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minimum USD100 (RM457) selain dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat," ujarnya.
Tambahnya, sasaran sindiket adalah warga tempatan dan sehingga kini jumlah kerugian dicatatkan mencecah RM2 juta.
"Polis percaya akaun digunakan sindiket adalah milik keldai akaun selain beroperasi seperti perniagaan yang sah kerana memiliki lesen perniagaan serta potongan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang sindiket dan kes diklasifikasi di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan.