18 calon Melayu layak jadi MB Negeri Sembilan - Jalaluddin

Iklan
Jalaluddin (dua dari kiri) dan Anthony (dua dari kanan) melawat seorang penduduk di Kampung Chennah.

JELEBU - Kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan(PH) layak untuk menjadi calon Menteri Besar.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu akan dibincangkan selepas kemenangan diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Iklan
Iklan

"Kita ada 36 calon yang mana 31 lelaki dan lima perempuan. Daripada 31 calon lelaki, 18 calon Melayu layak dipilih menjadi Menteri Besar. Jadi sesiapa pun boleh jadi Menteri Besar.

"BN dan PH buat keputusan akan memastikan semua DUN ditandingi menang kali ini. Selepas itu pemimpin tertinggi kedua-dua parti akan putuskan siapa Menteri Besar. Saya fikir itu tak jadi masalah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Santai Minum Pagi Bersama Masyarakat Kampung Chennah di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook.

Iklan

Anthony pula berkata, gabungan itu tiada masalah untuk menentukan calon Menteri Besar.

Malah beliau juga menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang memainkan isu Menteri Besar akan dilantik daripada DAP dengan turut menamakannya sebagai calon.

Tambahnya, isu tersebut sengaja dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN) bertujuan untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

"Umum mengetahui saya Menteri Pengangkutan dan saya ada jawatan saya malah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, calon Menteri Besar mestilah calon beragama Islam.

"Jadi saya rasa kita tak perlu layan propaganda itu. Kita fokus menang kerusi-kerusi kita dan tubuh kerajaan kuat," katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!