KOTA KINABALU - Hampir 1,000 penduduk perumahan Sabah Forest Industries (SFI) di Sipitang merayu supaya kerajaan negeri dapat menyambung semula bekalan elektrik dan air yang diputuskan sejak tiga bulan lalu.
Bekas pekerja SFI, Jeffridin Baudi berkata, dia mewakili penduduk di perumahan itu mahu menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri untuk memohon supaya bekalan elektrik dan air disambung semula.
"Kami sudah tiga bulan tidak mempunyai bekalan elektrik dan air, bayangkan bagaimana kehidupan seharian kami tanpa kedua-dua bekalan itu.
"Ada seramai 674 ketua isi rumah yang masih tinggal di perumahan SFI dan terjejas. Rata-rata mereka ini tidak berkemampuan untuk tinggal di tempat lain.
"Selain itu, tiga sekolah yang ada di sekitar SIF turut terjejas sedangkan kami bekas pekerja telah mendapat perintah mahkamah supaya pengusiran tidak berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Jeffridin berkata, perintah mahkamah yang diterima juga turut membabitkan tanah di SFI tidak boleh diganggu atau diceroboh selagi kes mengambil alih SIF masih berlangsung di mahkamah.
"Tetapi pada masa ini berlaku pembalakan secara besar-besaran di tanah SFI. Jadi ini menjadi kebimbangan kami kelak jika ada pelabur yang mahu melabur di SFI dan mereka tidak jadi kerana melihat aset di sini iaitu kayu balaknya sudah tidak ada.
"Ini menjadi kebimbangan kami sebagai bekas pekerja di sini, peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu semula tidak ada," katanya.
Sehubungan itu, Jeffridin berharap pihak kerajaan negeri dapat mendengar suara penduduk di perumahan SFI berhubung bekalan elektrik dan air serta perintah mahkamah sepatutnya perlu dipatuhi.
"Kami juga meminta supaya Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Madius Tangau dapat mengutamakan keperluan menyambung semula elektrik di SFI.
"Selain itu, kami memohon Jabatan Perhutanan Sabah untuk turun padang menyiasat kegiatan pembalakan yang dipercayai berlaku di SFI ini.
"Begitu juga pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat menyiasat dengan segera kerana laporan dan bukti telahpun dibuat sebelum ini," katanya.