ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang pembonceng selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Baru Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, pada malam Rabu.
Dalam kejadian jam 7.20 malam, kesemua mangsa berusia 26 hingga 51 tahun dalam perjalanan dari arah Tanjung Bidara menghala ke Masjid Tanah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan tiga buah motosikal jenis termasuk Honda EX5, Honda Dash, Yamaha 135LC dan sebuah kereta Honda Accord.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Honda Accord yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dalam perjalanan dari Cheng ke Paya Mengkuang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kesemua penunggang termasuk seorang pembonceng motosikal.
"Kejadian mengakibatkan mangsa, Mohamad Sharil Othman,43, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dan bekerja sendiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Jelasnya, seorang penunggang motosikal wanita yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Sungai Udang mengalami kecederaan di bahagian muka dan tulang rusuk.
Katanya, kemalangan itu turut menyebabkan dua lagi rakan masing-masing berusia 26 tahun yang bekerja sebagai operator kilang dan menunggang motosikal Honda EX5 mengalami luka-luka pada anggota badan.
"Bagaimanapun pemandu kereta beralamat di Paya Mengkuang tidak mengalami sebarang kecederaan dan darah individu itu telah diambil untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kehadiran alkohol.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan mangsa yang cedera telah di bawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut," katanya lagi.
Tambahnya pemandu terbabit juga diminta hadir ke Balai Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.