Li Hen hadiahkan pingat emas pertama Malaysia

Iklan
Li Hen - Foto Facebook Majlis Olimpik Malaysia

PERENANG negara, Goh Li Hen menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Komanwel Remaja Trinbago 2023 di Trinidad & Tobago.

Atlet berusia 17 tahun itu mengungguli acara 200 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki akhir selepas merekodkan 2 minit 03.63 saat (s) dalam acara berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Couva, awal pagi Khamis waktu Malaysia.

Iklan
Iklan

Pingat perak dimenangi wakil England, Reuben Rowbotham-keating dengan catatan 2:03.84s manakala gangsa dimenangi Jarden Dylan Eaton dari Afrika Selatan dengan 2:06.07s.

Kontinjen negara turut menambah koleksi pingat menerusi jaguh berbasikal trek, Nur Alyssa Mohd Farid yang meraih perak dalam acara pecut wanita.

Iklan

Pada saingan akhir acara pecut wanita, atlet berusia 17 tahun itu tewas kepada Sarah Johnson dari Scotland dalam perlumbaan di Velodrom Berbasikal Kebangsaan.

Hasrat kontinjen negara untuk menambah pingat dalam acara sama bagaimanapun lebur apabila wakil negara, Yong Ann Tung tewas kepada Liliya Tatarinoff dari Australia pada penentuan pingat gangsa.

Iklan

Pada Isnin, Lau New Joe menyumbang pingat pertama kontinjen negara di Trinbago 2023, dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki dengan meraih gangsa.

Sementara itu, Ketua Kontinjen negara ke temasya Trinbago 2023 Ang Li Peng menerusi hantaran di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata beliau gembira dengan pencapaian atlet yang bertanding setakat ini.

"Saya sangat gembira dan bangga dengan atlet kita hari ini. Semua yang bertanding hari ini telah berikan yang terbaik dan kita bertuah kerana dapat meraih pingat emas dan perak menerusi Li Hen dan Nur Alyssa.

"Khamis adalah hari terakhir atlet negara akan beraksi dalam acara berbasikal trek, dan saya harap kita menamatkan kempen dengan cemerlang,” katanya.

Malaysia menduduki tangga ke-13 berkongsi tempat dengan Guyana selepas kedua-dua negara memperoleh masing-masing satu emas, perak dan gangsa, manakala Australia mengungguli carta kedudukan pingat dengan 18 emas, 14 perak dan 16 gangsa diikuti England (15-17-7) dan Scotland (10-8-2). - Bernama