Penduduk Pida Tiga rayu turap semula jalan kampung

Iklan
Penduduk kampung menunjukkan Jalan Kampung Pida Tiga Sungai Korok yang rosak dan berlubang.

JERLUN - Penduduk di Jalan Kampung Pida Tiga Sungai Korok merayu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menurap semula jalan utama di kampung mereka yang rosak dan berlubang.

Penduduk, Jamaluddin Hashim, 55, berkata, jalan sepanjang tiga kilometer itu menjadi laluan utama bagi penduduk untuk melakukan aktiviti harian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jalan itu juga merupakan laluan pintas penduduk yang berulang alik kerja dari Alor Setar ke Perlis.

"Jalan ini mulai rosak sejak tiga tahun lalu dan makin teruk dari hari ke hari apabila lori tanah dan mesin padi turut menggunakannya.

Iklan

"Keadaan jalan yang berlubang ini juga menyebabkan banyak berlaku kemalangan melibatkan motosikal sehingga ada yang cedera parah," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Zainol Abdullah, 50, pula berkata, penduduk sudah lama menanti jalan terbabit dibaiki oleh pihak bertanggungjawab.

"Kami sekarang ini turut terbeban dengan kos penyelenggaraan kereta dan motosikal setiap bulan yang sering berlaku kerosakan.

Iklan

"Jadi kami sebagai penduduk berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkaitan supaya jalan kampung kami dapat dibaiki dan diturap dengan segera," katanya.

Norhizan Awang, 55, berkata, sekiranya pihak bertanggungjawab tidak mampu menurap kembali jalan kampung mereka setidak-tidaknya selenggara bahu jalan terlebih dahulu.

"Kalau tak boleh turap pun jalan ini buat sementara waktu, minta tolong tambah tanah di bahu-bahu jalan," katanya.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, yang juga penyandang DUN terbabit, Azhar Ibrahim berkata, projek turap semula jalan Pida itu telah disuarakan pada Sidang DUN sebelum ini.

"Namun begitu, kita masih menunggu kelulusannya di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

"Kita yakin setahun dua lagi masalah jalan ini akan diturap dan masyarakat Ayer Hitam khususnya dapat menggunakan jalan kampung dengan sempurna," katanya.

Bagi calon yang mewakili Barisan Nasional (BN), Hayazi Azizan, Jalan Pida ini merupakan jalan utama dan alternatif penduduk yang perlu diselenggara dengan baik.

"Permasalahan ini adalah agenda utama dalam manifesto saya untuk menaik taraf jalan Pida di seluruh kawasan Ayer Hitam.

"Saya berhasrat untuk membawa permasalahan itu ke Mada dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)," katanya.