KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan membangunkan semula pusat peranginan terkenal, Strawberry Park di Kijal, Kemaman yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lokasi itu akan dibangunkan dengan pembinaan hotel bertaraf lima bintang bernilai RM150 juta yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan dan siap pada 2026.
Menurutnya, ketika ini projek melalui kerjasama antara syarikat pelaburan induk strategik Terengganu, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc.), pemilik tapak dan bangunan, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan pihak pemaju itu diperingkat proses kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Projek ini akan dibangunkan oleh iKHASAS Land Sdn Bhd dan pengoperasian hotel oleh Courtyard by Marriott bagi pembinaan sebuah hotel berjenama antarabangsa dilengkapi dengan kemudahan moden, bilik yang selesa bagi memenuhi kehendak dan peningkatan pelancong di Terengganu.
"Pelantikan iKHASAS iaitu sebuah kumpulan syarikat yang telah berkecimpung di dalam pembangunan hartanah, perhotelan dan teknologi maklumat (IT), bakal membangunkan semula resort peranginan Strawberry Park, Kijal ini dengan pelaburan sebanyak RM150 juta dalam tempoh tiga tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Ujarnya, pembangunan kawasan itu akan berpotensi menawarkan lebih 150 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutamanya di Terengganu selain turut berperanan sebagai pemangkin perniagaan setempat dan pembekal-pembekal tempatan.
Terdahulu, Ahmad Samsuri menyempurnakan pelancaran serta menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pembangunan semula Strawberry Park di Resort World Kijal, pada petang Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi iKHASAS Land Sdn Bhd, Tan Sri Tan Jyh Yaong.
MoU membabitkan projek di atas tanah milik LTAWNT ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulkifli Ali sementara iKHASAS Land Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Ir Tan Chee Kian.
Sementara itu, MoU kerjasama pelaksanaan projek antara Terengganu Inc dan iKHASAS Land pula ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan Chee Kian.
Sementara itu, Burhanuddin berkata, sebagai penasihat projek, pihaknya telah menarik minat pelabur untuk melabur dalam infrastruktur resort di atas tanah berkeluasan 8.6 hektar itu sejak dua tahun lalu.
"Pelbagai kemudahan lengkap bertaraf lima bintang akan dibangunkan termasuk 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite' dengan latar belakang pemandangan yang indah.
"Ia juga akan dilengkapi dengan dua ruang makanan dan minuman berkonsepkan ‘all day dining’ dan ‘lounge banqueting’ serta bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang di samping kemudahan seperti spa, ruang rekreasi air, trek hutan serta ‘indoor games’," katanya.