PRN: TNB jamin bekalan elektrik stabil 12 Ogos ini

Iklan
Lori jana kuasa bergerak dan set jana kuasa mudah alih telah ditempatkan di lokasi strategik sebagai persediaan dan diatur gerak untuk memberikan bekalan sekiranya diperlukan.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa bekalan elektrik di 3,214 pusat mengundi dan 180 pusat penjumlahan rasmi undi bagi enam negeri terlibat pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos berada dalam keadaan stabil.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, lebih 2,500 anggota kerja TNB ditugaskan untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia di lapangan dan bilik gerakan operasi ketika proses pengundian.

Iklan
Iklan

"TNB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin.

"Kami juga telah menempatkan pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi penting ini,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas mengenai proses penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos lalu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian gangguan bekalan.

Beliau bagaimanapun berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, TNB mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada melakukan kerja pengorekan tanah dalam usaha mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik, sekali gus menghindari kemungkinan berlaku gangguan bekalan akibat kerosakan kabel.

Iklan

Wan Nazmy turut menjelaskan, sebanyak 198 lori jana kuasa bergerak dan 144 set janakuasa mudah alih ditempatkan sebagai persediaan untuk memberikan bekalan sekiranya diperlukan.

"Situasi bekalan elektrik seluruh negara dipantau setiap masa sehingga proses penjumlahan rasmi undi yang dijangka berlanjutan sehingga tengah malam pada 12 Ogos atau awal pagi keesokan harinya,” katanya lagi.

Ujar beliau, TNB menghargai kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) selain pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri terbabit bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik.

Tambahnya, syarikat itu telah mengambil langkah-langkah penting dan berharap semuanya berada dalam keadaan terkawal semasa hari kejadian.