Jalan kaki lebih 10 jam ajak Orang Asli di hutan keluar mengundi

Iklan
Ibrahim (kanan) berbual bersama penduduk kampung ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

HULU TERENGGANU - Pemimpin masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua di sini sanggup berjalan kaki selama lebih 10 jam bagi mengajak penduduk yang mencari rezeki di hutan supaya bersedia pulang untuk mengundi pada pilihan raya kali ini.

Pembantu Tok Batin, Ibrahim Awang, 57, berkata, langkah itu dilakukan sebagai persediaan setiap kali menjelang hari mengundi bagi memastikan tiada dalam kalangan mereka yang terkecuali daripada menunaikan tanggungjawab itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, biasanya dia akan memujuk supaya mereka menangguh seketika kerja-kerja mencari hasil hutan sehingga proses pengundian selesai.

"Untuk ke lokasi mereka bekerja ini perlu berjalan kaki selama beberapa jam sebelum menaiki bot. Selepas itu, perjalanan diteruskan ke lokasi yang dikenal pasti untuk menjejaki mereka.

Iklan

"Apabila jumpa sahaja mereka, kita akan pujuk supaya pulang sekejap. Biasanya mereka ini masuk ke hutan sejak bulan April dan akan beritahu kawasan mana mereka hendak pergi," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Menurut Ibrahim, antara lokasi paling jauh dituju oleh kira-kira 30 Orang Asli suku kaum Semaq Beri ialah sekitar gunung di kawasan Gua Bewah, Tasik Kenyir yang mengambil masa lebih 10 jam untuk perjalanan pergi dan balik.

Iklan

Katanya, langkah memanggil pulang orang kampung telah lama dilakukan walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar.

"Mereka biasanya mencari rotan dan damar (gam yang digunakan untuk membuat bot) di dalam hutan dan ambil masa berbulan-bulan sebelum boleh balik kampung.

"Kalau nak berhubung melalui telefon susah juga sebab tiada 'line' sebab itulah kita masih guna cara lama iaitu kaedah mencari dan menjejaki mereka di hutan.

"Banyak cabaran perlu dilalui sepanjang perjalanan di hutan ni. Dia bukan macam jalan dalam kampung. Tetapi atas sebab tanggungjawab kita tempuh juga," katanya.

Katanya, masyarakat Orang Asli di situ biasanya akan berkumpul di pekarangan kampung seawal jam 8 pagi sebelum bertolak dengan kenderaan masing-masing ke pusat pengundian.

Difahamkan, terdapat seramai seramai 550 orang masyarakat Orang Asli Sungai Berua dengan dengan bilangan keluarga sebanyak 133 dan jumlah layak mengundi seramai 270 orang.