SHAH ALAM - Sinar Harian sebagai salah satu agensi media terkemuka akan menyalurkan maklumat komprehensif sepanjang 24 jam bagi melaporkan perkembangan terkini situasi semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Pengarang Eksekutif Digital Sinar Harian, Ruzy Adila Idris berkata, laporan langsung itu akan dibuat menerusi portal pru.sinarharian.com.my dan Mojo Live oleh wartawan di setiap kawasan untuk tontonan platform media sosial Sinar Harian.
Menurutnya, semua pelayar akan disajikan dengan informasi pantas dan tepat mengenai keputusan rasmi atau tidak rasmi pilihan raya negeri (PRN).
"Portal kita turut memaparkan enam peta informatif negeri yang terlibat termasuk gambar serta biodata setiap calon yang dipertandingkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelasnya, laman PRU Sinar Harian turut menyiarkan liputan siaran langsung setiap lokasi DUN dan laporan yang seimbang kepada semua parti.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai siaran Sinar Live yang menjadi platform temu bual isu semasa bersama barisan panel yang akan menjawab pelbagai persoalan atau isu semasa.
Ujarnya, program tersebut juga memberikan ruang kepada panel untuk memaklumkan rancangan dan intipati semasa berkempen kepada pengundi.
"Panel jemputan akan menjawab isu-isu semasa yang dibangkitkan oleh hos bagi penonton mendengar dan menilai idea mereka.
"Kita turut memberi ruang kepada panel untuk menunjukkan perancangan dan pencapaian mereka semasa berkempen,” katanya.
Sementara itu, Ruzy Adila menjelaskan, Sinar Harian ke depan dalam menyuburkan perbahasan secara matang melalui program Berani Semuka.
Program itu katanya, menampilkan dua calon untuk berhujah dan berdebat menyatakan idea mereka serta menjadi antara rancangan yang mendapat perhatian pelayar Sinar Harian.
"Rancangan ini secara tidak langsung memberikan nilai tambah kepada calon dengan publisiti yang diberikan,” ujar beliau.