Enjin bot rosak, 40 PATI gagal pulang ke Indonesia

Iklan
Bot yang membawa 40 PATI warga Indonesia terkandas di perairan Pantai Sungai Tiang, Bagan Datuk pada Khamis. - Foto ihsan Polis

BAGAN DATUK - Cubaan 40 warga Indonesia ingin pulang ke negara asal gagal apabila bot dinaiki mereka terkandas akibat kerosakan enjin di perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, polis menerima maklumat sekitar jam 8 pagi daripada orang awam berhubung kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak 1.0 batu nautika dari pesisir pantai.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bergerak ke lokasi bot yang disyaki membawa sekumpulan pendatang tanpa izin (PATI).

"Terdapat 30 lelaki dan 10 wanita dipercayai warga Indonesia berusia 22 hingga 47 tahun berada di atas bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Iklan

Menurut beliau, kumpulan itu disyaki dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia.

"Siasatan lanjut mendapati bot itu dari Medan datang ke Rungkup untuk mengambil kumpulan PATI ini balik ke Indonesia.

Iklan

Ahmad Adnan berkata, kesemua tangkapan dan rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah," katanya.