Penduduk resah kampung sering dilanda banjir lumpur

Iklan
Azman menunjukkan paras air banjir lumpur yang memasuki rumah penduduk baru-baru ini.

LARUT - Lebih 30 penduduk di Kampung Anak Kurau Seberang, Batu Kurau di sini resah apabila rumah mereka sering dilanda banjir lumpur setiap kali hujan lebat sejak setahun lalu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada projek pembinaan Jalan Anak Kurau-Kamunting yang terletak sekitar 500 meter dari kediaman penduduk.

Iklan
Iklan

Projek pembinaan jalan sejauh 7.2 kilometer yang dijangka siap pada tahun 2025 itu menyebabkan sistem perparitan di perkampungan berkenaan terjejas apabila dipenuhi tanah dan lumpur.

Penduduk, Rodiah Ariffin, 72, berkata, keluarganya akan bersiap sedia dengan pelbagai peralatan termasuk cangkul kerana banjir yang melanda akan membawa lumpur tanah merah.

Iklan
Rodiah

"Sepanjang saya membesar, kampung ini tidak pernah banjir hinggalah projek itu dilaksanakan. Banjir beberapa hari lalu adalah yang terburuk kerana air naik setinggi 0.5 meter dengan arus derasnya melimpah masuk rumah.

Menurut nenek kepada 19 cucu itu, dia hanya duduk di katil atau tempat tinggi kerana tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Iklan

"Tempoh masa 15 minit sudah cukup membuatkan kawasan rumah menjadi seperti sungai. Kudrat saya ini tidak mampu untuk membersihkan rumah setiap kali banjir.

"Jadi anak-anak akan balik bantu membersihkan rumah. Ada yang membina benteng dan longkang di sekeliling untuk halang air dari masuk rumah," katanya.

Pesara tentera, Azman Abdullah, 46, berkata, aduan disalurkan kepada pemimpin setempat sejak Februari lalu namun, tiada tindakan diambil bagi meringankan beban penduduk yang terkesan.

"Apabila jabatan terlibat menerima aduan berkali-kali sepatutnya tindakan awal telah dilakukan untuk membantu kami.

"Sampai satu tahap kami tidak tahan dan terpaksa buat siaran langsung di media sosial supaya mereka dapat buka mata melihat keadaan sebenar kami. Tidak lama keluar baru ada pihak yang turun padang buat tinjauan," katanya.

Ahmad Hasbullah dan Azman menunjukkan sistem perparitan yang cetek dipenuhi tanah kesan banjir lumpur sejak setahun lalu.

Azman berkata, pihak kontraktor seharusnya membuat penilaian dan impaknya terhadap penduduk sebelum melaksanakan projek itu.

Pengerusi Persatuan Muafakat Komuniti Larut, Ahmad Hasbullah Elias berkata, penduduk tidak menghalang projek itu yang dapat memendekkan perjalanan dari Batu Kurau ke Taiping itu.

"Pihak kerajaan dan kontraktor diminta ambil perhatian isu ini yang mana sistem perparitan kampung perlu dibaik pulih atau dibina semula bagi melancarkan aliran air.

"Banjir lumpur ini menyebabkan tanaman penduduk mudah mati dan kehidupan mereka sudah terganggu. Keluhan penduduk ini perlu diatasi segera," katanya.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, beberapa siri mesyuarat dan lawatan dijalankan antara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Larut Matang Selama dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah.

"Pihak JPS telah mengusulkan agar JKR menjalankan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) bagi mengelakkan kejadian banjir lumpur.

"JPS telah menjalankan lawatan pada Rabu bersama pegawai daerah, JKR dan pihak perunding bagi langkah-langkah penambahbaikan di tapak," katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, lawatan susulan akan dilaksanakan bagi melihat cadangan yang sesuai bagi kaedah mengurangkan masalah banjir lumpur tersebut.