Model khas tetapkan lokasi sekolah khas golongan miskin

Iklan
Fadhlina Sidek berucap pada Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah Kementerian Pendidikan 2023 pada Khamis. - Foto: Bernama

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi mekanisme yang akan menjadi model khas bagi menetapkan kriteria penting terhadap lokasi pembinaan projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, model khas tersebut menumpukan kepada isu yang berkait rapat dengan kemiskinan, saluran bantuan dan sokongan kepada ekosistem sekolah sebelum permilihan pembinaan lokasi yang strategik.

Iklan
Iklan

"Model khas itu bermaksud tentang akses pendidikan yang sukar untuk pelajar ini (golongan miskin) pergi ke sekolah," katanya kepada media selepas beramah mesra bersama pelajar di Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia Pelajar Lepas Menengah di Dewan Dato’ Haji Ahmad Salleh.

Beliau juga berkata, kriteria bagi model khas tersebut akan diperhalusi dan dilihat oleh jawatan kuasa di KPM yang akan ditetapkan kemudian.

Iklan

Ahad lepas, beliau dilaporkan berkata kementeriannya akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina jenis sekolah baharu yang menyasarkan kepada anak-anak daripada golongan paling miskin di negara ini pada tahun depan.

Selain itu, Fadhlina berkata, Program Pembinaan Karakter Bangsa merupakan satu inisiatif penting dalam membina moral yang berkonsep terhadap Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) dalam melahirkan gerasi bijak pandai dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

"Program tersebut termasuk dalam inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara, ini adalah sebahagian inisiatif yang menghimpunkan mereka (pelajar lepasan menegah) dalam satu program untuk memastikan perbincangan yang berlaku berkait rapat dengan pembinaan karekter bangsa," katanya.

Iklan

Beliau berkata, program itu dilaksanakan sebanyak empat siri yang melibatkan peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional tahun 2023 di negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Di Pulau Pinang, lebih kurang 700 pelajar hadir dan Alhamdulillah, sambutan yang sangat baik seperti mana yang dilihat dan akan teruskan program ini dari semasa ke semasa khususnya kepada pelajar lepasan sekolah menengah kita," katanya. - Bernama