KUALA LUMPUR - Perkembangan semasa aspek kerjasama di bidang operasi dan perisikan serta latihan dan pendidikan menjadi perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ke-17 Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) MALINDO antara Malaysia dan Indonesia, di sini pada Khamis.
Mesyuarat tahunan yang dipengerusikan bersama oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang serta Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana TNI Yudo Margono turut membincangkan kerjasama kepolisian dan sosioekonomi.
Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam dalam satu kenyataan berkata, sidang HLC MALINDO ini diadakan setiap tahun dan dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Indonesia.
"Tujuan utama HLC MALINDO adalah sebagai landasan kepada kedua-dua pengerusi bersama dan semua ahli HLC MALINDO untuk bertemu secara rasmi bagi membincangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama terutamanya isu keselamatan di sepanjang kawasan sempadan yang dikongsi oleh Malaysia dan Indonesia," katanya pada Khamis.
Menurut kenyataan itu, secara keseluruhannya, pengerusi bersama kedua-dua negara amat berpuas hati dengan laporan yang telah dibentangkan.
Tambahnya, diharapkan agar segala keputusan yang telah dimuktamadkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi manfaat kedua-dua negara.
Pada masa sama, Affendi dan Yudo senada dalam memberikan penekanan agar sinergi hubungan Malaysia dan Indonesia perlu diperkasa dan ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.
"Sikap hormat menghormati dan bertoleransi dalam pelbagai aspek kerjasama harus dijadikan sebagai asas utama dalam setiap interaksi yang dilaksanakan.
"Kedua-dua mereka juga berharap agar kerjasama yang holistik dan komprehensif ini mampu memberikan impak yang positif serta mendatangkan pelbagai faedah buat bukan sahaja untuk kedua-dua negara, malah di seluruh kawasan serantau," ujarnya.
Di samping itu, kedua-dua pengerusi itu turut memberi penekanan agar semua badan-badan di bawah HLC MALINDO terus berusaha bagi mencari peluang baharu dalam pelbagai bentuk kerjasama dengan lebih produktif.
"Ini bagi menyediakan kedua-dua negara dalam menghadapi ancaman situasi keselamatan yang semakin dinamik, mencabar dan tidak menentu," katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, badan-badan di bawah HLC MALINDO diharap dapat melaksanakan aktiviti yang telah dirancangkan dengan lebih baik demi memperoleh hasil yang efektif dan efisien," katanya.
Ujarnya lagi, adalah menjadi keutamaan agar keselamatan serta keamanan sempadan Malaysia dan Indonesia terus dikekalkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.