KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor dan Persekutuan perlu bergerak seiring dan sehaluan bagi memastikan sektor pelancongan di negeri ini tidak ketinggalan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerajaan negeri ketika ini perlu dipertahankan bagi memastikan segala perancangan dan pembangunan memajukan sektor pelancongan dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.
Menurut beliau, pelancongan di negeri ini boleh dimajukan dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan.
"Kerjasama perlu dijalin antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk membangunkan sesebuah kawasan itu sebagai tempat tumpuan pelancong," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Menteri Pelancongan di Pasir Penambang, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, katanya, segala usaha itu sukar dilaksanakan sekiranya rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mentadbir Selangor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Kalau kerajaan negeri kekal, kita senang uruskan dan yakin dapat duduk berbincang, tetapi jika tewas segala perancangan sukar hendak dilaksanakan," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra di Pasir Penambang di sini pada Khamis.
King Sing memberitahu, kementeriannya bersedia untuk berbincang dengan kerajaan Selangor bagi mengenal pasti kawasan pelancongan di negeri ini yang berpotensi untuk dibangunkan.
Beliau yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) memberitahu, kemajuan industri pelancongan di sesebuah kawasan itu dapat membuka peluang pekerjaan terutama kepada generasi muda.
Mengambil contoh di Kuala Selangor ujar beliau, kawasan itu amat berpotensi kerana mempunyai kawasan pelancongan yang unik untuk dilawati pelancong.
"Misalnya di Kuala Selangor terdapat ramai peniaga mengusahakan restoran yang menawarkan hidangan laut selain mempunyai tarikan di tepi Sungai Selangor.
"Apabila sektor pelancongan ini dikenali, maka ekonomi rakyat pun berkembang dan mereka senang untuk dapat kerja," ujar beliau.