Harrison manfaatkan pengalaman politik selesai masalah penduduk Jeram

Iklan
Harrison (kanan) ketika dalam program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Kontroversi tak halang hasrat memenangi hati rakyat’ yang dihoskan oleh Asraf Awaluddin pada Khamis.

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yakin pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam karier politik dapat membantu menyelesaikan masalah harian didepani oleh rakyat di kawasan berkenaan.

Harrison berkata, penduduk Jeram ketika ini masih berdepan masalah harian seperti kebocoran paip, longkang, rumput dan lampu isyarat, yang mana sehingga kini masih belum ada penyelesaian daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

"Sebagai pemimpin, kita tidak harus menjanjikan semua, kita harus tahu pelbagai urus tadbir dan masalah di bawah kuasa pihak-pihak tertentu.

"Jadi, berbekalkan sedikit pengalaman di kementerian dan sebagainya, saya tahu sistem kerja kerajaan, dari segi memohon peruntukan, prosesnya, masa yang diambil, siapa yang bertanggungjawab di pelbagai pihak sama ada ketua pengarah dan sebagainya.

Iklan

"Ini yang akan saya aplikasikan balik apabila saya melaksanakan isu-isu atau menyelesaikan masalah-masalah harian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Sinar Live khas PRN bertajuk ‘Kontroversi tak halang hasrat memenangi hati rakyat’ yang dihoskan oleh Asraf Awaluddin pada Khamis.

Iklan

Pada PRN Selangor, Harrison berdepan saingan dua penjuru menentang calon BN, Datuk Jahaya Ibrahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor.

Tambah Harrison, melihat kepada masalah harian yang telah dihadapi oleh rakyat setelah sekian lama, pendekatan penyelarasan semula perlu dilakukan bagi memastikan isu-isu tersebut dapat diuruskan dengan teratur dan terkawal.

"Saya akui masalah ini sentiasa ada tetapi kenapa sehingga hari ini pemimpin dahulu atau kerajaan hari ini masih lagi tidak boleh selesaikan atau mengawal masalah itu?

"Baru-baru ini saya menziarahi satu kampung di DUN Jeram, masalah paip bocor yang terpaksa dialami oleh penduduk kampung hampir setiap minggu selama dua tahun.

"Jadi setelah saya semak dan buat kaji selidik, mungkin pelaksanaannya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kerajaan negeri yang gagal,” katanya.