Tok Mat nafi terbabit skandal LCS, fitnah untuk bunuh karakter

Iklan
Datuk Seri Mohamad Hasan. - Foto: Bernama

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan terbabit dalam skandal projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS) seperti tular baru-baru ini selain menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan membunuh karakternya.

Mohamad, yang mesra dipanggil Tok Mat berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas memandangkan keputusan perolehan kapal berkenaan telah dibuat sebelum beliau menjawat jawatan tertinggi di Kementerian Pertahanan.

Iklan
Iklan

"Masa (perolehan) itu saya belum ada di Persekutuan (Parlimen) saya jadi Menteri Pertahanan pada bulan 11 tak masuk akal langsung, fitnah itu sengaja dibuat untuk pembunuhan karakter, dia nak musnahkan saya," katanya ketika berucap pada program Malam Perpaduan Paroi di Dataran Senawang, di sini, malam Khamis.

Sebelum ini, tular satu rakaman di Youtube milik Raja Petra Raja Kamarudin yang mendakwa Mohamad merupakan sebagai antara individu terlibat dengan skandal berkenaan.

Iklan

Pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi kontroversi selepas pendedahan bahawa projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023 namun hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menafikan satu lagi dakwaan bahawa beliau akan dipecat daripada jawatan menteri kerana tidak sehaluan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan tidak turun berkempen bersama pemimpin utama negara itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Iklan

"Tahu tak Kementerian Pertahanan paling banyak dapat peruntukan khas daripada Perdana Menteri. Saya minta RM200 juta lulus untuk kita membaik pulih rumah tentera, baru-baru ini askar yang tak berpencen Perdana Menteri dengan murah hati meluluskan elaun khas bulanan RM300 bagi usia 60 tahun ke atas iaitu melibatkan hampir 50,000 anggota tidak berpencen.

"Saya minta jet pejuang, kapal perang, radar, kesemuanya lulus, ini pula nak mengadu domba mengatakan saya akan dipecat sebab saya tak bersama dalam kempen. Saya demam empat hari, 40 darjah suhu jadi janganlah mengadu domba, mengata saya macam-macam," katanya.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan naratif bahawa Kerajaan Persekutuan akan tumbang jika keputusan pasca PRN tidak memihak kepada Kerajaan Perpaduan.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas kerana apa sahaja keputusan PRN yang akan berlaku Sabtu ini, kerajaan Persekutuan tidak akan tergugat.

"...kerana ia telah pun ditubuhkan dan tidak mungkin kerajaan yang ditubuhkan dengan 2/3 majoriti ini tergugat di atas apa jua keputusan PRN kerana undang-undang Anti Lompat Parti telah pun dikuatkuasakan," katanya. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!