Peluang masih ada sarung jersi Harimau Malaya

Iklan
Morales dilapor masih menanti status permohonan kewarganegaraan bagi membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya.

MANA-mana pemain import LIga Malaysia (Liga-M) yang bakal dinaturalisasikan oleh kelab masing-masing masih berpeluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya suatu hari nanti.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, beliau sedia memberikan peluang kepada pemain naturalisasi baharu jika mereka mampu memberikan 'nilai tambah' terbaik kepada skuad kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kelibat mereka semestinya ditagih Harimau Malaya yang bakal mengharungi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada November ini dan Piala Asia di Qatar Januari tahun depan.

"Kita akan lihat bila mereka akan dapat pasport,” katanya kepada pemberita selepas proses undian Pestabola Merdeka 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, pertahanan tengah Terengganu FC, Argzim Redzovic; penyerang Negeri Sembilan FC, Casagrande dan penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales dilaporkan dalam proses untuk dinaturalisasikan.

Kehadiran ketiga-tiga pemain itu sekiranya mereka mendapat kewarganegaraan dalam masa terdekat sudah tentu akan menambahkan kualiti dimiliki Harimau Malaya.

Iklan

Untuk rekod, Malaysia sudah mempunyai beberapa pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh; Liridon Krasniqi; Lee Tuck; Guilherme de Paula; Sergio Aguero; Endrick dos Santos dan Paulo Josue.

Dalam pada itu, Pan-gon akan lebih memilih lawan berkualiti pada perlawanan persahabatan akan datang bagi memastikan skuad kendaliannya memperoleh aksi lebih kompetitif.

"Seperti yang kita tahu, semua lawan bermula September ini agak kuat. Jika kita mahu bergerak ke peringkat seterusnya, kita mesti bersedia mengatasi halangan dan tidak takut untuk berdepan pasukan kuat,” ujarnya.

Skuad negara dijadualkan menentang China dan Syria pada aksi persahabatan pada September sebelum bertemu India, Lubnan atau Palestin pada Pestabola Merdeka 2023 yang dijadualkan Oktober.

Kemudiannya, Harimau Malaya akan beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman, Kyrgyzstan selain pemenang aksi pusingan pertama antara Taiwan atau Timor Leste.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah merangka perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi dan Oman sebelum Harimau Malaya mengharungi Piala Asia 2023 di Qatar nanti.