PEMANDU di Malaysia barangkali memang suka berahsia. Nak masuk simpang pun tak nak bagitau orang. Berahsia sangat sampai signal pun tak bagi. Risau agaknya takut orang tahu dia nak ke mana.
Mereka lebih suka guna ‘niat’ dan kata hati sahaja kalau nak membelok. Biarlah dia seorang yang tahu. Atau barangkali juga waktu beli kereta memang ia tak datang sekali dengan signal.
Kena beli asing dan harganya lebih mahal, sebab tu agaknya kebanyakan kereta ‘tak ada signal’.
Geram betul Merak Jalanan dengan pemandu pemalas nak guna signal. Bukan sekali dua tetapi banyak kali Merak Jalanan terkena dengan spesies pemandu yang main teka-teki nak masuk simpang.
Merak Jalanan kena pakai firasat untuk meneka dengan pantas bagi mengelak kemalangan.
Kalau ada yang terlupa, Merak Jalanan boleh tolong ingatkan. Signal kereta digunakan untuk beri amaran kepada pemandu lain bahawa anda nak keluar masuk simpang, nak memotong atau tukar lorong atau nak keluar masuk lot parkir dan bulatan.
Amalkan untuk nyalakan lampu signal antara 100 meter hingga 300 meter sebelum membelok. Janganlah bila dah sampai hujung-hujung baru nak bagi signal. Waktu itu berdoalah sahajalah kalau kereta belakang sempat tekan brek.
Kalau dah berlanggar, tahu pula nak menyajikan babak gusti percuma atau nanti jadi mangsa paling tersakiti, walhal puncanya hanya kerana diri sendiri malas nak guna signal.
Tapi ada lagi spesies pemandu yang bikin Merak Jalanan panas hati. Jenis bagi signal sepanjang 10 kilometer tapi tak masuk-masuk juga simpang nak dituju.
Satu lagi, bagi signal nak masuk kiri tapi dia belok ke kanan atau spesies sekejap bagi signal ke kiri, sekejap ke kanan!