Tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi

Iklan
Seramai 9.7 juta pengundi layak mengundi pada di enam negeri. - Foto Bernama

ESOK adalah hari mengundi yang bakal menentukan nasib calon-calon yang bertanding mewakili parti masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri – Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Seramai 9.7 juta pengundi layak mengundi dan lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan belia di bawah umur 39 tahun, dengan 661,905 pengundi berumur antara 18-20 tahun, seramai 2.16 juta pengundi (berumur 21-29 tahun) dan 2.16 juta pengundi (berumur 30-39 tahun).

Iklan
Iklan

Paling menarik, keputusan PRN kali ini akan melihat sejauh mana sikap pengundi, sama ada kekal menyokong atau ada kejutan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada November 2022.

Ia juga adalah ujian kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

Jika pemilih kekal, maka status quo juga kekal, dengan Perikatan Nasional (PN) terus memerintah Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan - Barisan Nasional) menerajui Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Inilah masanya untuk memilih wakil rakyat yang merasai denyut nadi rakyat dan mewakili suara anda, bukan sekadar hanya mahu mengejar pangkat dan kedudukan.

Iklan

Pada masa sama, rakyat juga perlu berubah. Jangan terlalu taasub dengan sesebuah parti. Pilihlah wakil yang ikhlas dan ‘bekerja’ untuk membantu rakyat sepanjang masa, bukan hanya muncul ketika pilihan raya atau ‘aktif’ dalam tempoh berkempen.

Ingat, setiap undi yang diberikan bakal menjadi penentu masa depan sesebuah negeri. Semakin ramai turun mengundi dan memilih, semakin besarlah peluang calon untuk menang.

Tanpa sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil, nasib rakyat akan terabai. Ambillah peluang ini untuk memastikan PRN kali ini menjadi medan memuktamadkan pilihan terbaik.

Tanggungjawab mengundi juga salah satu tuntutan dalam agama Islam kerana penting untuk sesebuah masyarakat memilih sebuah kerajaan yang amanah dan berintegriti. Selamat mengundi!

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!