KAHERAH - Seorang lelaki di utara Mesir bikin kecoh setelah mendedahkan pasangannya adalah sama jantina dengannya.
Pendedahan itu yang dibuat kira-kira dua tahun selepas pasangan berkenaan melayari alam rumah tangga turut menjadi topik hangat perbicangan pengguna media sosial dan menerima pelbagai reaksi.
Media tempatan melaporkan individu dari wilayah al-Bahira itu mendakwa isterinya memiliki sifat fizikal lelaki dan perempuan.
"Dia pernah mengajukan tentang perkara itu kepada keluarga mertuanya, namun mereka berpendapat isu tersebut dapat diselesaikan menerusi prosedur pembedahan.
"Masalah itu tetap tidak dapat diselesaikan walaupun sudah berunding dengan profesional perubatan," jelas laporan berkenaan sambil menambah lelaki tersebut memilih untuk berpisah secara baik.
Pada mulanya, keluarga mertuanya menentang keras keputusan itu, namun kesepakatan akhirnya dapat dicapai dan wang hantaran tidak akan dipulangkan.
Individu itu turut membongkar kisah silam isterinya yang kononnya wanita itu membesar sebagai kanak-kanak lelaki sehingga dia berumur sembilan tahun.
"Pada masa itu, keluarganya memutuskan untuk menukar namanya kerana ciri dominan perempuan yang ada padanya," ujar laporan itu lagi.
Isterinya bagaimanapun menafikan dakwaan suaminya dengan menjelaskan dia pernah menjalani pembedahan untuk memulihkan kecacatan kelahiran dan wanita itu juga bersedia untuk menjalani pemeriksaan untuk membuktikan jantinanya.
Menurutnya, tuduhan dilemparkan suaminya bertujuan untuk memburukkan nama keluarganya malah dia juga pernah mengalami keguguran kerana dikasari lelaki berkenaan. - Agensi