BAYAN LEPAS - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat Pulau Pinang mengambil peluang pilihan raya negeri (PRN) ini untuk menghantar isyarat penolakan kepada kerajaan negeri yang dipimpin DAP serta Pakatan Harapan (PH).
Ini kerana katanya, ada beberapa isu yang besar tidak ditangani kerajaan negeri antaranya masalah kesesakan lalu lintas, bekalan air dan isu tambak laut.
Menurutnya, selain rakyat, rakan-rakan yang menyokong UMNO juga dinasihatkan supaya tidak memberi undi kepada calon parti itu kerana ia akan menguatkan lagi DAP di negeri ini.
"PRN ini adalah satu peluang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang menghantar isyarat kepada kerajaan negeri yang ada hari ini bahawa kami menolak DAP dan PH di negeri ini. Kepada rakan-rakan UMNO, UMNO bertanding enam kerusi, tolong jangan kuatkan, kemenangan UMNO hanya akan menguatkan DAP di sini.
"Sepatutnya kita melihat masa depan, dalam situasi ini, sebahagian isu yang berlaku dalam DAP, perpecahan yang berlaku, menunjukkan mereka sebenarnya berada dalam perpecahan yang sangat serius.
"Sebab itu, hadirnya saya di sini mahu menyatakan bahawa kami daripada Bersatu, Pas dan Gerakan, kita bersama-sama mendukung cita-cita memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu ini," katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok PN di Kampung Masjid pada Khamis.
Turut hadir calon PN bagi kerusi Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memuji ahli Pas kerana tidak bertanding sebagai calon Bebas walaupun tidak dipilih sebagai calon.
"Walaupun pelbagai diperkatakan di media sosial, menggambarkan seolah-olah ada penentangan (dalam parti), saya ucap tahniah kepada kepimpinan Pas, mereka 'wala', patuh keputusan parti. Mereka tidak letak calon Bebas.
"Walaupun mereka berasa kecewa, tetapi mereka tekad bahawa ini keputusan PN, mereka dukung bersama keputusan tersebut. Kita bergerak sebagai satu pasukan," katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, gelombang kebangkitan rakyat menolak PH dalam PRN kali ini jelas kelihatan dan tidak dapat disekat oleh sesiapa lagi.
"Gelombang itu kita nampak sekarang ini, malah ia lebih besar daripada gelombang yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Dalam pilihan raya lalu, gelombang itu tidak nampak sangat, ia hanya boleh dilihat ketika minggu-minggu akhir sahaja.
"Berbeza dalam PRN ini kerana gelombang kebangkitan rakyat ditunjukkan lebih awal dan lebih besar. Jika gelombang ini akan menyebabkan keenam-enam negeri berjaya PN tawan, pimpinan PH dah tak sedap duduk dah kerana mereka sedar rakyat telah menolak PH-BN.
"Itu sebab jika kita tengok sekarang ini, Perdana Menteri turun di mana-mana, macam-macam dia beri. Di hari akhir ini, macam-macam akan turun. Jangan pelik, jika diberi sungai sekali pun. Minta sungai, lulus," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak lawan.
"Dalam minggu akhir ini, saya minta pengundi jangan terpengaruh dengan mana-mana provokasi, kononnya undi PN masuk syurga, kita tidak pernah buat begitu. Jika ada kain rentang atau poster yang menulis kita orang Melayu kita menang dan bangsa asing pendatang, ini bukan dari kita.
"Kita minta pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pastikan kalau ada poster atau kain rentang seperti ini, tolong turunkan. Provokasi sengaja dibuat supaya kita bertindak, tenang dan rileks," katanya.