Kreativiti anak tempatan berkualiti

Iklan
Muhammad Farid menghasilkan pelbagai jenis kostum dan peralatan cosplay mengikut kehendak pelanggan dengan bantuan dana kerajaan.

Mampu menghasilkan kostum animasi setanding luar negara

Muhammad Farid menghasilkan pelbagai jenis kostum dan peralatan cosplay mengikut kehendak pelanggan dengan bantuan dana kerajaan.


IPOH - Siapa sangka anak tempatan mempunyai kreativiti luar biasa menghasilkan kostum animasi dan cosplay setanding kualiti di luar negara.

Itulah dilakukan oleh anak muda dari Seri Iskandar, Perak, Muhammad Farid Sohaimi yang kini begitu sinonim dan dikenali oleh peminat-peminat cosplay untuk mendapatkan khidmat menghasilkan pakaian serta peralatan sampingan watak-watak animasi tersebut.

Iklan
Iklan

Bermula sebagai hobi pada tahun 2010, anak muda berusia 34 tahun itu berkata, perniagaannya mula berkembang pada tahun 2015 selepas permintaan untuk menghasilakan kostum meningkat apabila acara berkaitan cosplay semakin banyak diadakan dan diterima masyarakat.

"Cosplay ini ramai peminat sebenarnya dan kebanyakan kostum dan peralatan mereka beli dari luar negara tetapi ada banyak masalah. Jadi dari situ saya terfikir nak kembangkan bakat dengan belajar cara nak buat kostum dan prop ini.

Iklan

"Pada awalnya saya belajar dari seorang pengkarya dari Indonesia dan selepas itu saya berjaya hasilkan sendiri dengan bantuan rakan-rakan. Saya boleh berbangga sekarang kerana ada anak tempatan yang boleh menghasilkan kostum cosplay setanding kualiti antarabangsa," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Farid berkata, setiap kostum yang dihasilkan berharga serendah RM200 hingga RM9,000 antaranya watak karektor permainan Mobile Legend, Kamen Rider dan maskot yang ditempah khas oleh agensi tertentu.

Iklan

Menurutnya, selain itu juga, beberapa syarikat terkemuka turut mendapatkan khidmatnya bagi menghasilkan set penggambaran studio dan kostum watak-watak animasi untuk pelbagai acara.

"Kita pernah menghasilkan kostum untuk pertandingan mewakili Malaysia di dalam acara persembahan kostum di Belanda pada tahun 2018 dan itu merupakan sesuatu yang membanggakan.

"Saya sebenarnya mahu berterima kasih kepada kerajaan negeri Perak dan kerajaan persekutuan kerana menyuntik dana terhadap industri kreatif seperti ini. Ia secara tidak langsung mengembangkan lagi industri ini yang mempunyai masa depan cerah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kejayaannya itu turut dibantu menerusi Dana Kreatif Perak@PORT yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk digunakan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari segi penggunaan material produk.

Menurutnya, tanpa sokongan dan bantuan kerajaan, penggiat industri kreatif akan ketinggalan kerana indusrti tersebut kian berkembang serta berubah mengikut keperluan semasa.

Dana Kreatif Perak @ PORT merupakan satu skim bantuan seni yang bersistematik dengan memberi keutamaan kepada para pengkarya dan golongan usahawan bidang kreatif kelahiran Perak yang menghasilkan produk atau menjalankan projek berkaitan seni kreatif tempatan.

Menerusi pelaksanaan skim pendanaan itu menjadikan Perak negeri pertama yang menyalurkan dana kreatif atas inisiatif Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan tujuan utama membantu menyokong pergerakan dan perkembangan praktis para penggiat seni visual, sastera dan seni persembahan moden dan kontemporari.

Usaha itu juga merupakan salah satu langkah untuk mengangkat bidang-bidang tersebut dalam usaha menjadikan negeri Perak mesra penggiat kreatif sekaligus mencapai keberhasilan sektor seni budaya dan warisan ditetapkan menerusi sasaran utama Sejahtera Sosial di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.