Tindakan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dianggap sebagai suatu langkah berani dalam melakukan penampilan sulung di negeri yang sudah didominasi dengan dua parti besar iaitu UMNO dan Pas.
Graduan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu malah menyahut cabaran tersebut dalam usaha mendekati pengundi untuk membawa suara rakyat sekali gus menawarkan pilihan terbaik kepada pengundi di DUN Bandar.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NURFARDLINA IZZATI MOKTAR bersama Ketua Penerangan Muda itu yang berkongsi hasratnya untuk membawa perubahan dalam arena politik di Terengganu.
SINAR HARIAN: Kenapa Muda memilih DUN Bandar ?
LUQMAN: Keputusan untuk memilih DUN Bandar kerana melihat dari segi demografi di kawasan ini mempunyai komposisi kaum yang bercampur (mix) merangkumi Melayu, Cina dan India selain terdiri pengundi dari pelbagai latar belakang termasuk orang muda, pesara dan penjawat awam.
Kita juga melihat kawasan ini boleh dijadikan sebagai satu cerminan untuk Muda mewakili semua rakyat Malaysia khususnya anak-anak Terengganu tanpa mengira kaum dan komuniti.
Apa fokus utama Muda pada rakyat di Terengganu ?
Muda ingin memperjuangkan beberapa isu di negeri ini antaranya peluang pekerjaan, gaji ditawarkan yang masih rendah dan isu pengangkutan awam. Masalahnya kalau tidak diangkat isu-isu sedemikian selain tidak disuarakan maka saya risau Terengganu akan menjadi sebuah bandar pencen di mana golongan muda tidak menetap di negeri ini.
Separuh daripada pengundi DUN Bandar sudah tidak berada di sini. Mereka ini pengundi luar sama ada tinggal di luar DUN bandar atau luar negeri. Cabarannya adalah untuk kita bawa mereka untuk balik mengundi bagi memilih masa depan Terengganu yang lebih baik.
Apa perancangan yang Muda mahu laksanakan di DUN Bandar ?
Sudah tentu dari sudut politiknya kita komited sama ada menang atau kalah, kita akan sediakan tapak untuk Muda beroperasi di sini kerana nak tarik ramai anak-anak muda menyertai Muda Terengganu. Perjuangan Muda tidak mengira sama ada berjawatan atau tidak tetapi kita tetap mahu berkhidmat pada rakyat.
Selain itu, kita mahu bangunkan kawasan di DUN Bandar di mana banyak bangunan yang cantik di sini tetapi terbengkalai serta isu penyelenggaran lemah antaranya kutipan sampah dan sebagainya perlu ditangani dengan baik. Jadi kita mahu jadikan kawasan di DUN Bandar ini sebagai satu kawasan yang membangun dan boleh menarik lebih ramai pelancong seperti Jonker Walk di Melaka sekali gus dapat membantu peniaga tempatan untuk meningkatkan ekonomi setempat.
Terengganu didominasi oleh Pas dan UMNO. Bagaimana Muda lihat dari segi persaingan dengan kedua parti itu yang sudah sinonim dengan rakyat Terengganu ?
Saya mengaku persaingan itu sangat besar kerana sudah sedia maklum bahawa dua parti utama iaitu Pas dan UMNO sudah berdekad berada di Terengganu. Bagaimanapun Terengganu merupakan sebuah 'swing state' di mana berlaku pertukaran kerajaan pada penggal tertentu dan ini bermaksud rakyat Terengganu bersedia menerima perubahan.
Jadi saya percaya ada ruang untuk semua pihak bertanding meskipun berlaku persaingan sengit. Bagaimanapun menerusi maklum balas daripada penduduk di sini, mereka teruja apabila mengetahui ada parti baharu di sini selain dua parti yang sudah lama memerintah Terengganu. Jadi ini peluang Muda sediakan tawaran menarik pada rakyat dan beri peluang pada anak-anak Terengganu untuk bercakap soal dasar, kebajikan mereka dan sebagainya.
Muda lebih menggunakan pendekatan secara bersemuka atau menggunakan platform dalam talian untuk mendekati pengundi ?
Sudah tentu kita mengerakkan kempen dari rumah ke rumah atau gerai ke gerai kerana percaya sebagai calon berjumpa dengan rakyat secara bersemuka itu jauh lebuh baik dan efektif. Orang Terengganu ini kalau boleh dia nak jumpa, kenal dan bercakap dengan calon.
Bagaimanapun pada masa sama kita tetap memfokuskan strategi pada media sosial terutama TikTok dengan membangkitkan isu-isu penting termasuk pengangkutan awam, projek terbengkalai dan peluang pekerjaan memandangkan separuh daripada pengundi DUN Bandar menetap di negeri lain.
Harapan muda untuk PRN kali ini?
Harapan sudah tentu untuk menang selain nak tunjukkan kepada semua bahawa Muda adalah sebuah parti nasional yang bukan hanya di Selangor sahaja tetapi kami adalah parti untuk rakyat Malaysia.
Keduanya, kita berharap dapat menyebar secara luas tentang Muda kepada rakyat supaya mereka tahu bahawa dalam pilihan raya tidak semestinya hanya perlu memilih antara dua blok parti yang sedia ada ketika ini di Terengganu.
Kita mahu beritahu pada rakyat bahawa mereka mempunyai pelbagai pilihan terbaik ditawarkan. Jangan pilih calon dengan melihat pada politik kepartian tetapi memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan dan agenda terbaik kepada rakyat.