Empat rakan berdepan hukuman gantung bunuh dua individu

Iklan
Empat rakan yang didakwa kerana membunuh dua individu bulan lalu dibawa keluar dari Majistret Ayer Keroh pada Jumaat.

MELAKA - Empat rakan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh dua individu bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh Lok Kian Seng, 47, Daniel Ho Chin Cher, 33, Woon Chee Weng, 44 dan Lim Chien Voon, 41, di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian dua individu iaitu Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Perdana dekat sini pada 7 hingga 10 Julai lalu.

Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ehsan Nasarudin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah.

Iklan

Majistret Khairunnisak menetapkan 12 September depan bagi serahan laporan kimia dan forensik.

Sinar Harian pada 10 Julai lalu melaporkan mayat dua lelaki yang dibungkus dalam kanvas ditemui di dalam semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua mayat itu ditemui pada jam 9 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan kepada polis.