TAIPING - Seorang ibu bersama kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Siti Farina Mohamed Basharol Ariffin, 36, dan teman lelakinya, Izuhaizad Ismail, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Panglima Assam Kumbang, Taiping antara jam 10.30 pagi pada 29 Julai 2023 hingga 10.52 pagi, 30 Julai 2023.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Hasiffaidhi Mohamad Jeffry, 9.
Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Majistret Nur Atiqah Sapari kemudiannya menetapkan 16 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik, kimia, asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 31 Julai lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemukan mati dengan beberapa kesan lebam di badan dipercayai didera di sebuah rumah di Assam Kumbang di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, teman lelaki ditahan kes kematian kanak-kanak 9 tahun