GURUN - Kriteria utama seseorang wakil rakyat haruslah mengetahui selok belok permasalahan komuniti, turun padang dan sentiasa mendengar suara hati penduduk.
Jurujual kereta, Amirul Hairi Abdul Jalil, 29, berkata, sebagai pengundi muda sudah semestinya mengidamkan pemimpin yang menjiwai rakyat serta senang untuk didampingi.
Dia yang merupakan pengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun menjelaskan, kedua-dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah bagi kerusi N22 iaitu Mohammed Firdaus Johari (PKR) dan Badroll Bakhtiar (Pas) mempunyai kekuatan masing-masing.
"Kami berbesar hati jika wakil rakyat turun padang, dekat dengan kami, kalau dah menang perlulah bantu dalam pelbagai segi antaranya meningkatkan fasiliti sukan, pendidikan dan kemudahan asas di kampung," katanya ketika ditemui semasa Pertandingan Sepak Penalti di Sungai Tok Pawang pada Khamis.
Selain itu, peniaga, Mazlina Ahmad, 45, berkata, setiap calon yang menang dalam PRN kali ini, haruslah menunaikan manifesto yang dijanjikan kepada pengundi.
Dalam pada itu, Mohammed Firdaus yang ditemui semasa Pertandingan Sepak Penalti itu berkata, dalam tempoh 24 jam terakhir berkempen, beliau telah membuat pecutan dalam usaha menemui seberapa ramai pengundi di DUN berkenaan.
"Harapan saya, akan pertahan DUN Gurun dan beri khidmat dalam tempoh 60 bulan akan datang," ujarnya.
Apabila ditanya berhubung tindakan calon Perikatan Nasional (PN) yang membawa masuk tokoh agama bagi menarik sokongan pengundi, beliau mengakui ia adalah strategi politik masing-masing.
"Orang muda sudah matang, bijak (untuk memilih)...ia bergantung kepada niat masing-masing masuk politik," katanya.
Pada PRN Sabtu ini, Mohammed Firdaus (PKR) akan bertemu bintang bola sepak yang juga bekas kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Baktiar (Pas).
Kerusi N22 sebelum ini disandang bapa Mohammed Firdaus, Tan Sri Johari Abdul sebelum melepaskan jawatan setelah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi N22 dimenangi Johari dengan majoriti 4,207 undi setelah menerima 10,732 undi mengalahkan tiga calon lain Datuk Boey Chin Gan (BN) 6,525 undi, Muzaini Azizan (Pas) 5,257 undi dan M Palaniappan (Bebas) 167 undi.