SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengerakkan 155,755 petugasnya dalam melakukan semakan peralatan mengundi bagi melancarkan proses pengundian pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, daripada jumlah itu seramai 153,760 petugas akan bertugas bagi proses pengundian di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala 1,995 orang lagi akan bertugas bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, bagi PRN sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian manakala untuk PRK sebanyak di 41 pusat mengundi dibuka yang mengandungi 217 tempat mengundi (saluran).
"Kesemua peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap tempat mengundi (saluran)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ikmalrudin menjelaskan, keseluruhannya seramai 9,796,616 orang pengundi bakal mengundi membabitkan 9,674,456 orang untuk PRN dan 122,160 bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.
''SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi," tegasnya.
SPR sebelum ini menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala 8 Ogos lalu bagi pengundian awal.